[TERKINI] SARA RM100 untuk Warganegara 18 Tahun ke Atas: Tebus Guna MyKad – Baca Panduan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Titah Sultan Johor wajar - Khaled

Bernama 25/02/2017 | 12:58 MYT
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan terdapat kewajaran di sebalik peringatan tegas Sultan Johor terhadap ahli politik luar supaya jangan mencampuri urusan dalaman. -Gambar fail/Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan terdapat kewajaran di sebalik peringatan tegas Sultan Johor terhadap ahli politik luar supaya jangan mencampuri urusan dalaman sehingga boleh mengelirukan dan memecah-belahkan rakyat negeri itu.

Katanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sedemikian kerana menyedari ada orang luar cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara bakal menghadapi pilihan raya umum.

Menurutnya, ramai akan membawa perkara-perkara dan isu tertentu yang sebenar bukan hendak menyelesaikan masalah tetapi mengelirukan rakyat.

"Kalau katakanlah tiada pilihan raya, tidak mungkin semua perkara ini dibangkitkan...sebab itu Tuanku bertitah sedemikian," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim Khamis lepas, yang mengingatkan bahawa tidak perlu untuk orang luar berlagak pandai atau mengajar apa yang patut dibuat untuk kesejahteraan negeri ini memandangkan rakyatnya telah menikmati hidup yang selesa, aman dan damai.

Dalam titah baginda pada majlis perasmian Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar, dekat sini, Sultan Johor turut meminta rakyat Johor agar tidak terpengaruh dengan tipu helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan mereka dengan cerita dongeng. -- BERNAMA

#ahli politik luar #Khaled Nordin #pilihan raya umum #Sultan Ibrahim