MALAYSIA
Titah Yang di-Pertuan Agong sempena Maal Hijrah 1447 H

Sultan Ibrahim berkenan bertitah pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 H peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam.
Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia rasul, serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta‘ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat saya hadir dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1447 Hijrah, pada pagi yang mulia ini.
Saudara saudari sekalian,
Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah adalah sejarah permulaan tamadun Islam yang sangat besar maknanya.
Rasulullah SAW telah memberikan contoh dan cara pemerintahan Islam yang sebenar, sampai berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang berbeza suku kaum dan agama.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam supaya memahami tanggungjawab untuk membina tamadun yang berteraskan nilai-nilai Islam, bukannya sekadar pembangunan fizikal sahaja.
Firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat ke-20 yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Dan merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Peristiwa hijrah juga menyaksikan bagaimana perpaduan antara pelbagai suku kaum dan penganut agama yang berbeza-beza berjaya dibentuk melalui satu perjanjian bertulis, iaitu Piagam Madinah.
Di negara kita juga, perpaduan rakyat yang majmuk telah dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat.
Oleh itu, semua pihak mestilah menghormati Perlembagaan dan tidak menghidupkan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.
Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.
Ini bermaksud, urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal.
Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.
Oleh itu, janganlah ada pihak yang menunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka, atau sebarkan fitnah dan kebencian yang akan memecahbelahkan masyarakat.
Sejak dari dahulu lagi, saya sentiasa tegaskan bahawa pentas dakwah dan medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat untuk agenda parti politik.
Marilah kita menjaga kesucian agama Islam dan membentuk penyatuan ummah yang harmoni kerana Islam adalah agama persaudaraan dan perdamaian.
Kita juga mesti jadikan Islam sebagai cara hidup yang hakiki melalui amalan, adab dan akhlak yang mulia, bukan sekadar penampilan luaran atau pakaian yang kelihatan Islamik semata-mata.
Saya juga menyeru anggota pentadbiran dan kepimpinan negara supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhikmah, adil, dan tidak menzalimi yang lemah.
Marilah kita berganding bahu dalam membina sebuah negara yang berjaya, bukan hanya di mata dunia, tetapi juga diberkati Ilahi.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam, dengan doa yang tulus ikhlas.
Semoga Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sentiasa mengurniakan rahmat dan keberkatan untuk kita semua.
Sekian.
Wabillahi taufik wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami