Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus mempertingkatkan kawalan di kawasan sempadan terutama di kawasan utara negara bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya ke perairan negara.

Mengumumkan demikian, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, "Kita telah menggerakkan empat aset ke kawasan sempadan tersebut dan antara kapal yang terlibat dalam operasi itu ialah KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Kelantan, KD Selangor dan KD Mahawangsa.

"Kita akan menyuruh mereka (PATI) pulang ke negara asal mereka... Kita sediamembantu mereka di laut terutama daripada segi bantuan makanan, selain bantuan yang telah dipanjangkan oleh persatuan Mercy Malaysia dan juga pihak NGO," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar BintaraPertingkat Profesionalisme Tulang Belakang TLDM di Auditorium KD Sultan Idris 1,Pangkalan TLDM Lumut di sini, pada Isnin.

Seramai 200 pegawai waran TLDM menyertai seminar itu diadakan setiap tahun, bagi mengetengahkan idea mereka dalam membantu memantapkan pengurusan peringkat atasan dalam merealisasi misi dan visi perkhidmatan.

Abdul Aziz berkata peranan Bintara merupakan tunjang belakang unit TLDM yang membantu mengoperasi jentera, melicinkan urusan pentadbiran dan pengurusan serta membantu mengawal tingkah laku dan disiplin anggota bawahan.

"Bintara digalakkan untuk mengikuti pelbagai kursus kerjaya dan kepakaran yang ditawarkan setiap tahun, agar dapat membantu melaksanakan tugas dengan lebih lancar dan berkesan selain menjadikan mereka lebih 'marketable' di luar apabila meninggalkan perkhidmatan TLDM kelak.

"TLDM sentiasa membuka peluang kepada semua peringkat anggota untuk meningkatkan tahap pendidikan menerusi program Pengajian K-Force, Pengajian Sepenuh Masa dan Separuh Masa," katanya.