TM perlu cari penyelesaian tingkatkan akses internet ke seluruh negara - Gobind

Bernama
September 10, 2018 21:51 MYT
Gobind Singh turut meminta TM untuk menilai semula perkhidmatan Internet Streamyx yang didakwa kurang memuaskan.
Syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar Telekom Malaysia (TM) perlu mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan akses capaian Internet ke seluruh negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata menjadi dasar kerajaan untuk membekalkan akses Internet jalur lebar kepada semua dan memberi penekanan kepada kualiti perkhidmatan yang terbaik.
"Dasar kerajaan untuk bekalkan akses kepada semua bukan sekadar pembekalan sahaja tetapi beri penekanan kepada kualiti perkhidmatan yang baik dan dapat bersaing dengan negara lain pada tahap antarabangsa," kata Gobind Singh menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau, malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap aduan beberapa pengguna Twitter berhubung akses Internet yang masih tidak stabil serta harga yang tidak berpatutan di beberapa lokasi di seluruh negara.

TM perlu cari jalan penyelesaiannya. Dasar kerajaan utk bekalkan akses kepada semua bukan sekadar pembekalan sahaja tetapi beri penekanan kpd qualiti perkhidmatan yg baik dan dpt bersaing dgn negara lain pada tahap antarabangsa. https://t.co/7mrR8HEJrK

— GobindSinghDeo (@GobindSinghDeo) September 10, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Perkara ini dalam perhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Perbincangan akan diadakan dengan semua telco yang menawarkan pakej baharu dalam masa terdekat," katanya.
Gobind Singh turut meminta TM untuk menilai semula perkhidmatan Internet Streamyx yang didakwa kurang memuaskan.
"TM perlu jelaskan masalah dengan Streamyx dan apakah kekangan yang wujud dari segi infrastruktur yang halang kelajuan. Juga nyatakan cadangan langkah yang akan diambil untuk atasi masalah ini.
"Dalam usaha untuk mencapai sasaran, akses kepada semua, kelajuan lebih tinggi, harga lebih rendah dan kualiti lebih baik, semua pihak perlu berganding bahu serta melaksanakan peranan mereka. Pengemaskinian yang sentiasa dilakukan di pihak semua telco sangat penting," katanya.

Terima kasih di atas komen dan saranan YB. TM sedang giat bekerjasama dengan pihak Kementerian serta industri dalam meningkatkan akses jalur lebar, tahap kemampuan dan juga kelajuan untuk semua rakyat Malaysia.

— TM Group (@myTMgroup) September 10, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, TM Group dalam maklum balas di akaun Twitter mengambil maklum dengan komen dan saranan yang diberikan.
"TM sedang giat bekerjasama dengan pihak kementerian serta industri dalam meningkatkan akses jalur lebar, tahap kemampuan dan juga kelajuan untuk semua rakyat Malaysia," menurut catatan berkenaan.
-- BERNAMA
#akses #broadband #capaian #Gobind Singh Deo #harga #Internet #jalur lebar #KKMM #kualiti perkhidmatan #Streamyx #telco #Telekom Malaysia #TM Group #Twitter