TMJ titah MB, Pengarah Kesihatan menghadap berhubung isu kekurangan vaksin

Nurul Izzatull Hani Seman
Ogos 30, 2021 07:22 MYT
Pertemuan itu bagi membincangkan isu kekurangan vaksin dan masalah berbangkit yang berkaitan. - Facebook HRH Crown Prince of Johor
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu untuk menghadap baginda hari ini.
Menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor pada Ahad, turut dipanggil menghadap ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Pertemuan itu bagi membincangkan isu kekurangan vaksin dan masalah berbangkit yang berkaitan.
“Saya telah menitahkan Datuk Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu menghadap esok (hari ini).
"Saya juga akan berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) mengenai satu laporan yang saya terima mengenai kekurangan vaksin dan pembatalan janji temu untuk vaksinasi.
"Saya juga akan bangkitkan mengenai isu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity dan program vaksinasi untuk pekerja-pekerja kilang pada mesyuarat esok (Isnin)," titah baginda.
#TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #vaksin #Johor