VM2026: Lorong Sempit, Lorong Pekan jadi tarikan di Alor Setar - Raja Muda Kedah

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan keluarga berkenan berangkat melakukan lawatan di Lorong Sempit, Dataran Starwalk, Alor Setar malam tadi. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Inisiatif yang dilaksanakan dalam menghidupkan semula Lorong Sempit selain penganjuran acara Lorong Pekan dilihat sebagai langkah terbaik untuk mempromosikan Bandaraya Alor Setar terutama pada waktu malam.
Ringkasan AI
- Inisiatif menghidupkan semula Lorong Sempit dan acara Lorong Pekan di Alor Setar dipuji sebagai langkah terbaik untuk mempromosikan bandar ini terutamanya pada waktu malam.
- Raja Muda Kedah menyatakan langkah tersebut menonjolkan budaya tempatan kepada pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta mempromosikan produk usahawan tempatan.
- Usaha membangkitkan Lorong Sempit dipuji sebagai tarikan dalam Experience Kedah, Visit Kedah Year, dan Visit Malaysia Year, dengan penekanan pada tarikan pelancongan pada waktu malam.

Titah baginda, usaha yang dipelopori MBAS itu juga menjadi platform mengetengahkan produk-produk usahawan tempatan. - Foto Astro AWANI
Tambah baginda, usaha yang dipelopori Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu juga menjadi platform mengetengahkan produk-produk usahawan tempatan seperti makanan, pakaian dan hasil kraftangan.
"Ini adalah satu warisan kita di mana kita patut pelihara dan jaga dia dan terima kasih kepada MBAS yang naik taraf Lorong Sempit.
"Kita patut buat masa malam, sebab kita tahu cuaca panas (ketika ini), tiada orang hendak datang (jika acara berlangsung pada waktu tengah hari), jadi masa petang sampai ke malam adalah masa yang baik untuk menarik pelancong datang ke Alor Setar.
"(Usaha) ini pun boleh jadi satu tarikan dalam Experience Kedah, Visit Kedah Year dan Visit Malaysia Year tahun ini," titah baginda.
Raja Muda Kedah bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat melakukan lawatan di Lorong Sempit, Dataran Starwalk, Alor Setar malam tadi (pada Jumaat).

Sepanjang lawatan, baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pengusaha dan pengunjung selama lebih dua jam. - Foto Astro AWANI
Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda, Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Sepanjang lawatan, baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pengusaha dan pengunjung selama lebih dua jam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


