GEORGE TOWN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membangunkan satu lagi projek penyambungan terus bekalan elektrik daripada Grid Nasional ke Pulau Pinang melalui penghantaran talian atas dari tanah besar Semenanjung.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Husaini Husin berkata projek untuk memperkukuhkan bekalan elektrik di Pulau Pinang itu menelan belanja lebih RM500 juta dan dijangka siap menjelang hujung tahun 2024.

"Permintaan beban puncak di pulau ini pernah mencecah 777.85MW yang direkodkan pada Januari 2020 berbanding kapasiti sistem bekalan sedi ada sebanyak 1,130 MW. Kami mahu memastikan kapasiti ini stabil apabila Stesen Janakuasa (SJ) Gelugor tamat perkhidmatannya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, projek berkenaan adalah bagi memastikan kapasiti sistem bekalan sedia ada tidak terjejas apabila satu-satunya stesen jana elektrik di pulau berkenaan iaitu SJ Gelugor dengan kapasiti penjanaan 300MW, dijadualkan tamat kontrak perkhidmatan pada akhir 2024.

Husaini berkata, Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan projek talian atas ini mengikut perancangan TNB berdasarkan unjuran permintaan bekalan elektrik di Pulau Pinang sehingga tahun 2030.

"Kerja-kerja fizikal yang merangkumi pembinaan tapak asas menara, pemasangan struktur menara serta kerja-kerja merentang pengalir dijangka bermula pada penghujung 2022," katanya.

-- BERNAMA