[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

TNB perkasa kebajikan pesakit melalui Better Brighter Dormitory IJNF - Tenaga Nasional

Amzar Alif 26/11/2025 | 04:15 MYT
Nurul Fatiha Sulaiman disambut mesra petugas di kaunter Better Brighter Dormitory, yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan keluarga pesakit mendapatkan tempat penginapan berhampiran IJN.
KUALA LUMPUR: Dalam ketegangan menanti rawatan jantung ahli keluarga di Institut Jantung Negara (IJN), Better Brighter Dormitory menjadi ruang teduh yang mengurangkan tekanan serta memberikan kekuatan baharu kepada waris pesakit dari seluruh negara.

Kemudahan hasil kerjasama IJN Foundation (IJNF) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menyediakan penginapan yang selesa, bersih dan berpatutan, sekali gus meringankan beban emosi, fizikal dan kewangan keluarga pesakit kritikal yang terpaksa berada di hospital dalam tempoh tidak menentu.

Rakhamawati Ghazali, 54, Alor Setar, mendapat kelegaan dan sokongan penting ketika menjaga suaminya yang menjalani pembedahan jantung.


Bagi Rakhamawati Ghazali, 54, seorang terapis dari Alor Setar, Kedah, penginapan itu memberikan kelegaan yang tidak disangka selepas melalui detik mencabar sepanjang suaminya menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Tempat ini sangat selesa dan sangat membantu saya sepanjang rawatan suami saya. Bila saya masuk, saya tak menjangkakan dorm secantik dan sebersih itu,” katanya yang turut menghargai kemudahan pantri, ruang makan dan televisyen yang memberi rehat seketika ketika tekanan sebagai penjaga memuncak.

Beliau berkata keprihatinan pihak yang menyediakan kemudahan itu amat bermakna, khususnya bagi mereka yang datang dari jauh dan terpaksa mengurus tekanan emosi serta fizikal dalam masa yang sama.

“Keprihatinan pihak TNB dan IJNF terhadap kami sebagai penjaga pesakit sangatlah diharapkan dan kami sangat berterima kasih kerana dapat membantu meringankan beban dengan keadaan kami yang datang dari jauh,” tambahnya.

Beliau turut berharap agar usaha itu dapat diperluaskan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai waris.

Sementara itu, Nurul Fatiha Sulaiman, 28, seorang penyelia dari Muar, Johor, berkata cabaran terbesar baginya bukan sahaja kebimbangan terhadap keadaan ayahnya yang bekerja sebagai pekebun, tetapi juga kos tinggi untuk terus berada di Kuala Lumpur sepanjang tempoh rawatan yang belum pasti.

“Saya Google dahulu sebelum datang, dan satu malam di luar boleh mencecah RM100, jadi berada di sini sangat berpatutan,” ujarnya.

Menurutnya, bilik yang bersih, kemudahan asas yang lengkap serta kewujudan waris lain yang berkongsi pengalaman serupa membantu mengurangkan tekanan mental hariannya.

“Dari segi kewangan memang membantu kerana kos yang ditawarkan sangat berpatutan. Dari segi emosi pun membantu kerana dalam bilik ada waris lain, jadi sangat membantu untuk kita lepaskan tekanan,” jelasnya.

Nurhan Abdullah, 31, Semporna, berasa selesa dan tenang sepanjang menjaga anaknya selepas pembedahan jantung.


Dalam pada itu, Nurhan Abdullah, 31, seorang buruh dari Semporna, Sabah, yang menjaga anaknya selama dua minggu selepas pembedahan pintasan jantung berkata dormitori tersebut menjadi ruang paling stabil untuk menenangkan diri dalam tempoh rawatan yang panjang.

“Tahap kebersihan yang baik membuat saya rasa selesa sepanjang penginapan kerana setiap ruang dijaga dengan baik selesa seperti berada di rumah sendiri,” katanya.

Shona Wan, 40, Penampang, menerima bantuan bermakna ketika menjaga bayi berusia dua bulan seorang diri.


Bagi Shona Wan, seorang guru dari Penampang, Sabah, 40, yang menjaga bayi berusia dua bulan seorang diri, penginapan itu pula memberi nafas lega dalam situasi penuh ketidakpastian.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana adanya tempat seperti ini dan sangat berterima kasih kepada TNB dan IJNF. Tempat yang sangat strategik dan memudahkan ahli keluarga untuk tidak berulang-alik.

“Kekalkan dan teruskan usaha seperti ini untuk membantu setiap keluarga pesakit yang ada di sini. Terima kasih TNB dan IJNF,” ujarnya.

Keadaan dormitori lelaki yang cukup selesa disediakan.


Better Brighter Dormitory di IJN diwujudkan sebagai kemudahan penginapan berdekatan hospital bagi waris pesakit kritikal, khususnya mereka yang datang dari luar Lembah Klang dan tidak mempunyai pilihan penginapan yang mampu milik.

Di IJN, dormitori tersebut merupakan sebahagian daripada program Better Brighter Shelter TNB, iaitu inisiatif jangka panjang yang menyediakan penginapan berpatutan atau percuma bagi waris pesakit hospital kerajaan.

Inisiatif itu bertujuan memastikan keluarga pesakit dapat kekal dekat dengan insan tersayang tanpa terbeban kos penginapan di bandar besar, sekali gus membantu mereka melalui tempoh rawatan yang tidak menentu dengan lebih tenang.

Keadaan dormitori wanita yang dipantau rapi agar penghuni berasa selesa dan selamat sepanjangpenginapan.


TNB perkasa kebajikan pesakit melalui program Better Brighter Shelter di IJN

Komitmen TNB terhadap kesejahteraan rakyat terus dizahirkan melalui inisiatif Better Brighter Dormitory di Institut Jantung Negara (IJN), yang memberi manfaat besar kepada ribuan keluarga pesakit.

Kemudahan hasil kerjasama strategik antara TNB dan IJNF di bawah program Better Brighter Shelter ini, menyediakan penginapan sementara yang selesa, selamat dengan kadar berpatutan kepada ahli keluarga pesakit jantung yang sedang menerima rawatan di IJN, khususnya dari golongan B40 dan yang tinggal di kawasan luar Lembah Klang.

Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi, Timbalan CEO IJN, menegaskan dormitori ini ditubuhkan untuk meringankan beban keluarga pesakit.


Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah IJNF, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi, penubuhan dormitori ini berasaskan keperluan sebenar masyarakat.

“Fungsi utama Better Brighter Dormitory adalah untuk memberi kelegaan kepada waris pesakit yang datang dari jauh supaya mereka dapat menemani insan tersayang tanpa perlu risau tentang kos penginapan mahupun logistik,” katanya.

Beliau berkata idea kerjasama dengan TNB tercetus daripada kesedaran bersama terhadap keperluan menyediakan ruang tinggal yang berdekatan dengan hospital bagi mengurangkan tekanan emosi dan kewangan keluarga pesakit kritikal.

“Kerjasama yang terjalin sejak 2017 ini menggambarkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kesejahteraan pesakit dan keluarga mereka, sekali gus menyokong misi IJN memberikan rawatan yang menyeluruh serta penuh empati,” jelasnya.

Kemudahan selesa dan operasi teratur

Dormitori ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk pendingin hawa, ruang pantri, mesin basuh dan pengering, serta ruang rehat dilengkapi televisyen.

Ia menempatkan empat unit bilik keluarga, satu dormitori lelaki dan dua dormitori perempuan dengan kapasiti keseluruhan sehingga 56 penghuni pada satu masa. Kini kemudahan domitori ini merekodkan purata penggunaan sekitar 3,500 penghuni setahun.

“Dormitori beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, dengan pemantauan rapi agar penghuni berasa selesa dan selamat sepanjang penginapan,” ujar Datuk Akmal.

Beliau menjelaskan, pengurusan harian dilakukan oleh operator luar yang berpengalaman bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan kelancaran operasi dijaga sepanjang masa.

Selaras dengan prinsip ESG

Menepati agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) TNB, pengurusan dormitori turut menekankan amalan kelestarian dan tadbir urus telus, termasuk laporan berkala bagi menjamin akauntabiliti serta galakan penjimatan tenaga dan air.

“Kami memastikan setiap operasi dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bagi menjimatkan tenaga, pengguna juga digalakkan menetapkan suhu pendingin hawa pada 24 darjah Celsius dan mematikannya apabila tidak digunakan,” ujar beliau.

Selain manfaat alam sekitar, inisiatif ini turut memberi impak sosial mendalam kepada masyarakat.

“Bagi keluarga B40, kadar penginapan di sini sangat berpatutan, malah caj turut dikecualikan untuk mereka yang tidak berkemampuan dan menginap dalam tempoh lama. Kehadiran ahli keluarga di sisi pesakit memberikan semangat dan ketenangan sepanjang proses rawatan,” katanya lagi.

Sokongan berterusan untuk masa depan

Sehingga kini, TNB telah menyalurkan lebih RM6.4 juta bagi membiayai kerja naik taraf, kelengkapan, penyelenggaraan serta operasi lima tahun bagi empat kemudahan Better Brighter Shelter di IJN, Hospital Serdang, Hospital Melaka dan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu.

Bagi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, pembiayaan TNB melibatkan kerja naik taraf dan penyediaan kelengkapan. Lebih 6,000 keluarga telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Datuk Akmal turut menyatakan penghargaan terhadap sinergi jangka panjang bersama TNB yang dilihat mampu diperluas ke pelbagai bidang sosial lain.

“Kami amat menghargai kerjasama strategik ini. Ia bukan sahaja memberi kesejahteraan kepada keluarga pesakit IJN, tetapi juga selaras dengan hasrat untuk memperkukuh tanggungjawab sosial korporat dan pembangunan mampan negara,” katanya.

Tambahnya, IJNF berharap sinergi dengan TNB dapat diperluas ke arah bantuan perubatan yang lebih komprehensif kepada pesakit kurang berkemampuan, seiring aspirasi Better Brighter Nation yang menekankan empati, keprihatinan dan kesejahteraan komuniti.

Bagi waris pesakit yang ingin memanfaatkan kemudahan ini, maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pihak hospital atau IJN.

Pada masa sama, orang ramai digalakkan berkongsi mengenai inisiatif Better Brighter Shelter ini agar lebih banyak keluarga pesakit dapat menikmati kemudahan yang disediakan.


Better Brighter Shelter Dormitory IJNF–TNB
Menyediakan penginapan sementara kepada keluarga pesakit IJN.
• Keutamaan: Waris pesakit wad kritikal, keluarga luar Lembah Klang, dan golongan B40.
• Kapasiti: 56 penghuni pada satu masa; purata tahunan sekitar 3,500 penghuni.
• Fasiliti: Empat bilik keluarga, satu dorm lelaki, dua dorm perempuan, pantri, penyaman udara, mesin basuh/pengering, dan ruang rehat TV.

Inisiatif Better Brighter Shelter TNB

• Sumbangan TNB: Sejak 2017, TNB telah menyalurkan lebih RM6.4 juta bagi membiayai kerja naik taraf, kelengkapan, penyelenggaraan serta operasi lima tahun untuk kemudahan Better Brighter Shelter di IJN, Hospital Serdang, Hospital Melaka dan HRPZ II Kota Bharu, selain menyokong kerja naik taraf di HSNZ Kuala Terengganu yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 keluarga.
• Lebih 6,000 keluarga setahun menerima manfaat melalui program Better Brighter Shelter TNB, yang merangkumi:
o Better Brighter Anjung Kasih YKN–TNB di hospital-hospital kerajaan (hasil kerjasama TNB-Yayasan Kebajikan Negara (YKN)-Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)); dan
o Better Brighter Dormitory IJN di Institut Jantung Negara.




#TNB #IJN #Better Brighter Dormitory #penginapan untuk waris pesakit #rawatan jantung