[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

TNB, UniMAP dan PETRA perkasa komuniti menerusi Program Cahaya Prihatin

Malekah Aisyah 17/12/2025 | 11:11 MYT
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua, kanan) meninjau pelajar UniMAP menjalankan pemeriksaan dan pembaikan pendawaian elektrik di kediaman penduduk sempena Program Cahaya Prihatin. - Foto UniMAP
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan komitmen dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui penganjuran Program Cahaya Prihatin: Elektrik untuk Komuniti di Kampung Utara Malaysia, Padang Besar, Perlis.


Ringkasan AI
  • UniMAP memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui penganjuran Program Cahaya Prihatin: Elektrik untuk Komuniti di Kampung Utara Malaysia, Padang Besar, Perlis.
  • Inisiatif ini dilaksanakan bersama Malaysia Energy Literacy Program (MELP) dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
  • Program literasi tenaga dan keselamatan elektrik dalam kalangan komuniti setempat ini dilaksanakan susulan pemilihan UniMAP sebagai antara lapan IPTA pelaksana program dan kursus MELP.
  • UniMAP universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan pendekatan Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) di bawah inisiatif tersebut.


Inisiatif ini dilaksanakan bersama Malaysia Energy Literacy Program (MELP) dengan kerjasama strategik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta dirancang sebagai pemangkin kepada peluasan usaha pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat seluruh negara secara berperingkat pada 2026.

Program yang menumpukan kepada literasi tenaga dan keselamatan elektrik dalam kalangan komuniti setempat ini dilaksanakan susulan pemilihan UniMAP sebagai antara lapan IPTA pelaksana program dan kursus MELP sekali gus menjadikan UniMAP universiti pertama di Malaysia yang melaksanakan pendekatan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) di bawah inisiatif tersebut.

Sejak diasaskan oleh TNB pada 2020, MELP terus diperkukuh melalui penubuhan Jawatankuasa Pemandu peringkat nasional yang diterajui Timbalan Menteri PETRA selain Jawatankuasa Kerja pada 2024.

Pelancaran melp.my sebagai platform dalam talian turut memperluas penyampaian literasi tenaga secara lebih berkesan, menyokong sasaran strategik MELP untuk mencapai 90 peratus masyarakat Malaysia celik tenaga.

Pelaksanaan program ini digerakkan menerusi kursus EMK41003 Teknologis dalam Masyarakat, melibatkan dua program pengajian di Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik UniMAP iaitu Teknologi Kejuruteraan Kuasa Industri serta Teknologi Kejuruteraan Robotik dan Automasi.

Bagi Program Cahaya Prihatin, TNB komited memperkasa keselamatan tenaga dalam komuniti, termasuk menyokong pemeriksaan dan pembaikan pendawaian di rumah-rumah asnaf. Kerjasama ini mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan UniMAP menerajui pendidikan berasaskan pengalaman dunia sebenar serta memacu inovasi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Sebagai peneraju peralihan tenaga negara, TNB terus menyokong aspirasi literasi tenaga melalui MELP bagi memastikan keselamatan, kecekapan dan kelestarian tenaga menjadi amalan masyarakat.

Pendekatan ini turut memupuk perubahan tingkah laku melalui pengenalan amalan tenaga selamat dan teknologi tenaga boleh baharu, selaras dengan komitmen TNB terhadap agenda Peralihan Tenaga Negara dan sasaran Net Zero 2050.

Pelajar UniMAP memasang lampu jalan solar sempena Program Cahaya Prihatin: Elektrik untuk Komuniti di Kampung Utara, Padang Besar, Perlis. - Foto UniMAP


Menerusi program ini, masyarakat setempat didedahkan kepada penggunaan tenaga elektrik yang selamat, efisien dan berhemah selain menjalani pemeriksaan keselamatan elektrik di kediaman masing-masing.
Komuniti juga berpeluang mengakses kepakaran teknikal UniMAP, sekali gus mengukuhkan jaringan kolaborasi universiti–industri–komuniti.

Program ini mencerminkan pendekatan ekosistem Universiti–Industri–Komuniti (U-I-C) yang menjadi teras usaha UniMAP dalam menyampaikan pemindahan ilmu dan memperkasa kesejahteraan masyarakat.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, serta disertai barisan kepimpinan kementerian dan industri, termasuk Timbalan Ketua Setiausaha PETRA, Mareena Mahpud, pengurusan TNB dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Untuk rekod, sejak SULAM diperkenalkan di UniMAP pada 2019, seramai 2,214 pelajar telah terlibat aktif dalam pelbagai program komuniti berimpak tinggi, selaras aspirasi universiti melahirkan graduan berpengetahuan, berdaya saing dan berjiwa sukarelawan.



#UniMAP #MELP #TNB #Petra #ipta #SULAM #Perlis #teknologi #komuniti