PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Beliau menegaskan tidak terlibat dalam urusan pemilikan saham, malah tuduhan yang mendakwa terdapat conflict of interest di pihaknya juga tidak berasas.

"Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tuduhan yang menyatakan terdapat conflict of interest di pihak saya seperti mana yang didakwa oleh segelintir pihak adalah tidak berasas.

"Saya telah menjelaskan kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saham saya digunakan oleh adik saya untuk membuat urus niaga beliau dan saya tiada  ada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada Selasa.


SPRM | Azam Baki nafi miliki saham dengan jumlah melampau

Azam menjelaskan, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibelinya oleh syarikatnya tiada kaitan dengan siasatan SPRM.

Bahkan, jelas Azam, saham-saham itu telahpun dipindahkan kepada akaun milik adiknya.

Dalam pada itu mengenai tuduhan yang mendakwa beliau mengawal banyak syarikat, Azam menyifatkan itu satu pembohongan besar oleh pihak-pihak tertentu untuk mewujudkan persepsi negatif terhadapnya.

"Ia direka dengan sengaja menjatuhkan reputasi saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tohmahan ini kerana ia adalah perbuatan yang berniat amat jahat," ujarnya lagi.

Dalam pada itu ditanya rasional adiknya menggunakan akaun saham beliau, Azam menjelaskan beliau tidak melihat ia sebagai satu isu atau kesalahan memandangkan sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun mana-mana pihak untuk membeli saham. 


Sebar Fitnah | Sebar fitnah Azam mahu ambil tindakan undang-undang

Justeru itu, Azam memberitahu, selepas mendapat nasihat peguam, beliau mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu-individu yang mencemarkan reputasinya.

Mengenai kelewatan tampil 'membersihkan' namanya, beliau memberitahu, sebenarnya tidak ada keperluan untuk beliau menjelaskan kepada sesiapa. 

"Namun apabila saya diminta untuk menjelaskan kepada LPPR, saya telah berbuat demikian dan memberi penerangan terperinci kepada mereka. Sebagai KP SPRM saya hanya perlu menjawab kepada mereka.

"Meskipun tidak perlu mengisytiharkan urusan berkenaan kepada ketua jabatan, namun demikian saya mengambil insiatif untuk memaklumkan kepada ketua jabatan saya pada ketika itu, bahawa saya tidak ada apa-apa dengan urus niaga itu dan mereka berpuas hati dengan penjelasan saya," katanya.