IPOH: Ketua kampung Orang Asli (Tok Batin) akan menjadi kumpulan pertama penerima vaksin dalam kalangan masyarakat itu di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, mereka perlu menjadi contoh untuk meyakinkan anak-anak buah masing-masing.

Menurut beliau, seperti kumpulan masyarakat lain, kerajaan juga mahu memastikan semua warga komuniti Orang Asli menerima vaksin.

“Saya mahu Tok Batin menjadi penerima pertama vaksin di kampung mereka, diikuti oleh isteri dan anak-anak.

“Selepas itu barulah vaksin mudah diberikan kepada penduduk kampung yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Tok-Tok Batin Orang Asli seluruh Perak di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Profesor Dr Juli Edo.

Saarani memaklumkan, kerajaan bersetuju mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk memberi vaksin kepada masyarakat Orang Asli.

Dalam masa sama, beliau juga meminta Tok Batin agar dapat berkempen dalam kalangan ibu bapa komuniti itu bagi memastikan anak-anak mereka pergi ke sekolah.

Katanya, ia sangat penting kerana kerajaan berhasrat untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan.