Tok Mun meninggal dunia pada usia 103 tahun

Nur Fazlizai Ali
Julai 3, 2022 12:47 MYT
Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Atas Tol, Kuala Terengganu hari ini akibat sakit tua.
KUALA TERENGGANU: Bekas calon Bebas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Atas Tol di sini, hari ini akibat sakit tua.
Maimun yang juga calon wanita tertua pada PRU12 menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 3.30 petang tadi pada usia 103 tahun.
Menurut cucunya, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, dia mendapat khabar duka pemergian nenek itu selepas dihubungi saudaranya.
Katanya, tahap kesihatan neneknya telah merosot sejak empat bulan lalu akibat sakit tua.
Tuan Norazlina berkata, jenazah Tok Mun dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol di sini, sekitar pukul 10 pagi esok (Isnin).
Nama Allahyarham Maimun sebelum ini dikenali kerana beliau merupakan calon tertua yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU12.
Bagaimanapun, nenek kepada tujuh cucu itu hilang wang pertaruhan setelah meraih hanya 685 undi ketika menentang Mohamad Sabu (Pas) dan Allahyarham Datuk Razali Ismail (Barisan Nasional).
Tidak terhenti setakat itu, Maimun sekali lagi menjadi calon Bebas di kerusi sama pada PRU13 ketika berusia 94 tahun, namun, menerima nasib sama.
Hasrat Allahyarham untuk bertanding pada PRU14 bagaimanapun, tidak menjadi kenyataan kerana tidak mempunyai wang pertaruhan.
#Tok Mun meninggal dunia #calon tertua PRU #Maimun Yusof #Parlimen Kuala Terengganu