SUNGAI PETANI: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya dipercayai tokan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bandar Mutiara, di sini pada petang Rabu.

Dalam serbuan Op Tapis itu pada jam 5.30 petang itu, kesemua suspek berada dalam rumah berkenaan dan terkejut melihat kehadiran anggota polis.

Ketika itu, seorang suspek yang juga tokan dadah mendakwa, dia baru berpindah ke rumah itu sejak dua bulan lalu untuk mencari peluang mengedar dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan Zaidy Che Hassan berkata, dalam serbuan jam 5.30 petang itu, suspek ditahan bersama dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun dipercayai penagih dadah.

Beliau berkata, suspek mendakwa dia mahu mencuba nasib mengedar dadah di daerah ini selepas menjalankan kegiatan sama di daerah Kota Setar sebelum ini.

"Kita juga percaya perubahan tempat itu adalah disebabkan mungkin di kawasan Alor Setar sana nama dia ataupun dia itu sendiri telah ‘wanted’ dan juga menjadi target (orang dikehendaki).

"Dia telah berubah untuk membuat operasi pengedaran dadah ini di kawasan Sungai Petani. Jadi daripada tangkapan itu kita dapat sejumlah dadah jenis heroin," katanya.

Menurut Zaidy pemeriksaan di dalam rumah menemui satu paket heroin anggaran berat 46.14 gram dan tiga paket syabu dianggarkan berat 1.55 gram yang dimiliki suspek.

Suspek bersama dua lagi rakannya ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Zaidy berkata, dalam serbuan lain di Taman Ria Jaya, Kampung Benggali dan Kawasan Perumahan Flat Paya Nahu, seramai 17 penagih lelaki ditahan.

Katanya, polis merampas sejumlah 82.60 gram heroin bernilai RM2,478 dan syabu sebanyak 1.55 gram bernilai RM155.

Enam penagih yang ditahan berpotensi untuk disiasat selari dengan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mempunyai rekod lampau jenayah dan narkotik manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952 yang mempunyai rekod lampau kes narkotik sahaja.

Zaidy berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi bagi mengurangkan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah itu.

"Kita percaya penagih-penagih ini bila kita tangkap, tuduh dia masuk penjara kemudian keluar penjara dia aktif balik berkecimpung di dalam aktiviti dadah.

"Begitu juga tokan-tokan yang menjual dadah ini dari seg statistik pun berkurangan tetapi kita percaya aktiviti ini bersambung.

"Walaupun kita tangkap seorang ini ada juga penjual baharu yang datang di kawaaan Sungai Petani ini membuat aktiviti panjualan dadah," katanya.






Foto AWANI