Menyaksikan kejayaan cemerlang seorang pelajar yang sebelum itu telah berputus asa untuk meneruskan pengajian antara pengalaman manis seorang guru, Nawi Ismail, 62.

Nawi berkongsi perasaan itu selepas diumumkan Tokoh Guru Kebangsaan 2019, pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-48 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Lepas, pada Khamis.

Antara kisah yang paling memberi kesan kepada bekas Guru Cemerlang Gred Khas C ini ialah menerima hadiah RM50 daripada seorang pelajar sebagai tanda terima kasih kepadanya.

Menurut Nawi, dia menerima hadiah daripada seorang peserta kelas motivasi yang dianjurkannya di sebuah sekolah di Kemaman, Terengganu, iaitu seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.

Biarpun tidak mengingati kata-katanya, namun dia bersyukur apabila bait perkataannya menjadi inspirasi buat pelajar itu terus bangkit dan berusaha sehingga berjaya.

Namun tidak dinafikan pengalaman selama 37 tahun sebagai warga pendidik, pastinya ada cabaran dan kenangan pahit yang membuatkan dirinya terkilan.

"Yang kurang menariknya, satu masalah besar kita tak dapat nak atasi ialah apabila pelajar ada masalah keluarga.

"Kalau pelajar itu lemah dalam mata pelajaran, ataupun dia lemah saja, dia tak begitu pandai atau lambat belajar, kita masih boleh atasi, dengan syarat dia ikut program-program yang kita buat di sekolah.

"Tetapi kalau dia ada masalah keluarga, ini satu masalah besar. Kita kena pergi bincang dengan keluarga dulu. Tetapi, keluarga ini pula, kadang-kadang, kalau yang lemah itu, kita tanya dia pun, dia tak tahu apa yang patut dia buat, tak dapat nak kawal anak dia," kata Nawi.

Berasal dari Kuala Nerus, Terengganu, Nawi berpengalaman mengajar subjek bahasa Melayu selama 37 tahun, bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, Kuala Terengganu, pada 1980.

Beliau kemudian dipindahkan ke Sekolah Menengah (SM) Teknik Kuala Terengganu dan bersara pada 2017.

Kini meneruskan sumbangannya sebagai penceramah motivasi kepada pelajar sekolah di seluruh negara.

"Untuk guru-guru muda, saya sarankan jangan memilih tugas. Sesuatu yang diberi oleh jabatan, jangan kita menolak kerana tak tahu atau tak minat. Sebaliknya, kita cuba ikut.

"Kalau dari awal kita terima tugasan yang diberi oleh jabatan, PPD ataupun kementerian, di situ kita belajar. Maknanya, kita dapat banyak pengalaman kerana kita cuba menyahut tugasan yang diberi itu.

"Dengan cara itu, kita akan belajar, tanya orang, berfikir. Kalau tidak, kita akan setakat itu sahaja," katanya.

Pada majlis itu, Nawi membawa pulang wang tunai RM50,000; loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Sementara itu, Datuk Asariah Mior Shaharuddin dipilih menerima anugerah Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019.

Katanya, pencapaian terbaik beliau sepanjang bertugas di Kementerian Pendidikan adalah menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata usahanya itu adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dan berkebolehan untuk memperbaiki standard pendidikan negara.

"Kewujudan IPG juga dapat menyasarkan pelajar Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) untuk dimasukkan ke institut berkenaan bagi tujuan latihan dalam persediaan sebagai seorang guru," katanya.