[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Tokoh politik bergelar Tan Sri antara pemilik kereta mewah culas bayar cukai jalan

Umavathi Ramayah 24/09/2025 | 06:45 MYT
Loke berkata, senarai pemilik kenderaan terbabit turut merangkumi tokoh kenamaan, tokoh politik bergelar Tan Sri serta ahli perniagaan ternama. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan mendedahkan lebih 6,300 kenderaan mewah di negara ini culas memperbaharui cukai jalan, menyebabkan tunggakan mencecah kira-kira RM35.7 juta.


Ringkasan AI
  • Lebih 6,300 kenderaan mewah di Malaysia tidak memperbaharui cukai jalan, menyebabkan tunggakan mencecah RM35.7 juta, melibatkan jenama seperti Rolls Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche.
  • Senarai pemilik termasuk tokoh kenamaan, ahli politik bergelar Tan Sri dan ahli perniagaan ternama, namun Menteri Pengangkutan memilih untuk tidak mendedahkan nama mereka bagi tujuan memberi peringatan, bukan memalukan.
  • Daripada jumlah tersebut, tunggakan tertinggi melibatkan 4,308 unit Porsche (RM13.75 juta), diikuti Bentley (660 unit, RM7.06 juta), Rolls Royce (345 unit, RM6.46 juta), Ferrari (675 unit, RM4.72 juta) dan Lamborghini (372 unit, RM3.76 juta).


Menterinya, Anthony Loke, berkata lima jenama kenderaan mewah paling popular iaitu Rolls Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche masih aktif dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun cukai jalan tidak diperbaharui.

Beliau berkata, senarai pemilik kenderaan terbabit turut merangkumi tokoh kenamaan, tokoh politik bergelar Tan Sri serta ahli perniagaan ternama.

Bagaimanapun, beliau mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan nama individu berkenaan kerana tujuan pendedahan itu adalah memberi peringatan, bukannya memalukan mana-mana individu.

"Saya ingin mengingatkan golongan maha kaya ini, mereka juga mempunyai tanggungjawab.

"Kerajaan sudah bersikap baik hati dengan menyalurkan subsidi kepada semua pihak termasuk mereka yang membawa kereta mewah, maka mereka ada tanggungjawab memperbaharui cukai jalan masing-masing.

"Dalam senarai ini memang terdapat orang kenamaan termasuk bergelar Tan Sri, tokoh politik, ahli perniagaan dan golongan kaya. Saya tidak mahu nyatakan siapa, tetapi saya harap mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Jika kenderaan itu sudah tidak digunakan, saya tak boleh paksa (perbaharui cukai jalan). Namun, sekiranya masih aktif di jalan raya, sila bayar cukai jalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Pengangkutan, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Loke berkata, daripada jumlah 3,600 kenderaan mewah itu, 345 unit ialah Rolls Royce dengan tunggakan cukai jalan RM6.46 juta, 372 unit Lamborghini (RM3.76 juta), 660 unit Bentley (RM7.06 juta), 675 unit Ferrari (RM4.72 juta) dan 4,308 unit Porsche dengan tunggakan RM13.75 juta.

Loke turut mendedahkan bahawa ada pemilik sengaja menunggu hingga kenderaan disita kerana menganggap bayaran kompaun RM300 masih berbaloi berbanding jumlah cukai jalan yang perlu dibayar.

"Jika sikap ini berterusan, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih drastik dan saya memberi peringatan awal untuk mereka perbaharui cukai jalan.

"JPJ sudah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Walaupun tidak semua kes disiarkan dalam media, operasi itu berjalan secara berterusan," katanya.






#cukai jalan #kereta mewah #tokoh politik #Tan Sri