PASIR PUTEH: "Toksoh (jangan) takut keno (kena) vaksin," begitulah ungkapan kebanyakan golongan warga emas yang menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kelantan yang bermula hari ini.

Rata-rata warga emas yang ditemui pemberita menasihati seluruh rakyat terutama golongan muda supaya mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin ini sebagai usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Seorang penerima suntikan vaksin, Wan Muhammad Wan Adam, 71, berkata, golongan yang merasakan bahawa mengambil suntikan vaksin itu berbahaya, perlu berhenti berfikiran sedemikian.

"Insya-Allah, cara ini (suntikan) ini dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti COVID-19, bukan sahaja untuk kesihatan diri sendiri tetapi untuk orang sekeliling juga," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di sini hari ini.

Wan Khadijah Wan Salleh, 81, pula berkata, beliau sudah lama bersedia untuk menerima suntikan vaksin sejak bermulanya fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Februari lepas.

"Saya semangat nak mari cucuk (vaksin) hari ini dan harap selepas suntikan vaksin ini dapatlah mencegah kita daripada dijangkiti COVID-19, insya-Allah. Jadi, saya menyeru orang lain mendaftarkan diri untuk ambil suntikan vaksin. Toksoh takut sebab tak rasa sakit pun," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab berkata, kira-kira 120 warga emas di jajahan itu menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kelantan di PPV berkenaan hari ini.

"Setakat ini berdasarkan rekod yang kita ada, lebih 18,000 daripada 90,000 penduduk kawasan Pasir Puteh telah mendaftarkan diri sebagai penerima suntikan vaksin melalui MySejahtera.

"Justeru, saya berharap agar mereka yang belum mendaftarkan diri untuk segera berbuat demikian memandangkan jumlah yang berdaftar dilihat amat sedikit," katanya selepas mengadakan lawatan di PPV itu.
- BERNAMA