[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Tolak kehadiran Trump bercanggah prinsip maqasid syariah - Mufti Wilayah Persekutuan

Khalis Khadir 30/09/2025 | 15:00 MYT
Ahmad Fauwaz menjelaskan, emosi dan sentimen tidak boleh menjadi asas dalam membuat keputusan, sebaliknya ia perlu ditimbang berasaskan maslahat serta keadilan seperti dituntut syariat Islam. - Gambar Wikipedia/Reuters
KUALA LUMPUR: Tindakan menolak secara menyeluruh kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia dianggap bertentangan dengan dua prinsip penting dalam maqasid syariah.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, prinsip tersebut ialah hifz al-amn iaitu memelihara keamanan dan maqasid al-‘umran iaitu pembangunan tamadun.

Beliau menjelaskan, emosi dan sentimen tidak boleh menjadi asas dalam membuat keputusan, sebaliknya ia perlu ditimbang berasaskan maslahat serta keadilan seperti dituntut syariat Islam.

“Tindakan ekstrem atau boikot secara mutlak bukan sahaja boleh mencalar reputasi Malaysia di arena antarabangsa, tetapi juga membuka ruang terhadap sekatan ekonomi, tekanan diplomatik atau pembalasan dasar dari AS yang mungkin berdampak kepada rakyat Malaysia di sana termasuklah kebajikan serta keselamatan para pelajar, pekerja, rakyat Malaysia yang bermastautin dan komuniti dakwah di AS," katanya menerusi perkongsian Tinta Mufti yang disiarkan di media sosial pada Selasa.

Beliau berkata, ulama’ terdahulu termasuk Imam al-Mawardi membenarkan pemerintah menjalin hubungan dengan pihak bukan Islam sekiranya membawa manfaat nyata kepada rakyat.

Malah kata beliau, Rasulullah SAW sendiri pernah menandatangani Perjanjian Hudaibiyah serta mengadakan hubungan perdagangan dengan bukan Islam demi kestabilan politik dan ekonomi.

"Islam juga amat menitikberatkan adab terhadap tetamu. Jika seseorang pemimpin bukan Islam datang dalam kapasiti rasmi dan aman, maka tuan rumah wajib memberikan layanan yang wajar selagi ia tidak membawa pengiktirafan terhadap dasar yang menindas atau menjejaskan umat Islam," ujarnya.

Beliau berpandangan, kedatangan Trump tidak seharusnya dilihat sebagai restu terhadap dasar luar Washington, sebaliknya peluang Malaysia menggunakan pentas diplomasi untuk menyatakan pendirian tegas mengenai Palestin.

"Sebaliknya, menerima kunjungan beliau dengan syarat, kawalan dan niat diplomatik yang wajar membuka peluang memperkukuh hubungan antarabangsa, menarik pelaburan dan memberi ruang kepada Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap Palestin," katanya.

Mengulas dari sudut ekonomi, katanya, hubungan dagang Malaysia-AS amat signifikan dengan pelaburan langsung asing (FDI) AS mencecah AS$85.8 bilion pada 2024, meningkat hampir 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, dagangan barangan dan perkhidmatan pula direkodkan sekitar AS$86.5 bilion, melonjak lebih 20 peratus, sekali gus membuktikan kepentingan hubungan kedua-dua negara.

Dalam menangani isu berbangkit ini, beliau menasihatkan agar kerajaan bersikap seimbang dan matang, dengan tidak mengabaikan solidariti terhadap Palestin.

"Malaysia juga amat konsisten dalam menzahirkan solidariti terhadap Palestin melalui diplomasi antarabangsa, kenyataan kerajaan dan bantuan kemanusiaan.

"Oleh itu, menerima kunjungan Presiden AS bukan bermaksud merestui dasar luar AS, tetapi memanfaatkan platform diplomatik untuk menyampaikan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin di hadapan pemimpin dunia," katanya.



#Donald Trump #ASEAN #bantuan kemanusiaan #pelaburan langsung asing