MALAYSIA
Tolak sensasi isu perkauman, kukuhkan perpaduan demi kemerdekaan bermakna - Sultan Nazrin
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan bahawa negara ini tidak boleh dijadikan "rumah sengketa", apatah lagi menjadi medan pesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa. - Gambar/ Bernama
KUALA KANGSAR: Usaha menyatupadukan rakyat semestinya menghadapi halangan besar, apabila ada kalangan rakyat yang memilih mahu mensensasikan isu kaum, agama, negeri dan wilayah pada waktu negara sepatutnya lebih memberi fokus kepada mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang telah dirintis oleh pemimpin terdahulu.
Demikian titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-69 baginda di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Baginda mengingatkan bahawa negara ini tidak boleh dijadikan "rumah sengketa", apatah lagi menjadi medan pesta dalam kalangan insan yang mabuk kuasa.
"Merdeka itu bakal hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, memilih meracuni fikiran rakyat," titah baginda.
Sultan Nazrin turut menekankan bahawa kemerdekaan bukan sekadar perayaan, tetapi lambang maruah bangsa dan titik mula sebuah negara berdiri dengan kaki sendiri.
"Kemerdekaan merupakan lambang maruah bangsa, titik mula sebuah negara berdiri dengan kaki sendiri. Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut memiliki kebebasan minda dan kematangan politik, serta kejayaan menumbuhkan ekonomi dan membangunkan negara; dan lebih utama didukung oleh rakyat yang menghayati semangat satu warga, satu negara," titah baginda.
Malaysia, menurut baginda, telah lebih enam dekad berusaha membina sebuah negara berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa dan asas itu termaktub dalam Perlembagaan Negara yang mengiktiraf kepelbagaian sebagai kekuatan.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin menyeru rakyat agar menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah untuk berfikir secara bijak dan melihat kepelbagaian sebagai rahmat, bukan ancaman.
"Berfikirlah secara bijak. Manusia yang bijaksana akan mentafsirkan ciptaan Ilahi yang pelbagai itu sebagai aset berharga.
"Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa hendaklah diterima sebagai rahmat kekayaan kurniaan Ilahi di bumi ini. Amatlah malang kepada tamadun sesuatu bangsa, amatlah merugikan peradaban manusia sejagat, jika kelainan dan perbezaan dilihat dari lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka," titah baginda.
Baginda menutup titah dengan peringatan bahawa sikap negatif terhadap kepelbagaian akan merosakkan hubungan harmoni sesama manusia dan menjejaskan paksi keseimbangan dalam hubungan antara kaum dan agama.