[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Tolak stigma, tuntut keadilan: Seruan tindakan segera untuk pendidikan seksualiti komprehensif

Kenyataan Media 18/04/2025 | 01:40 MYT
Terdapat keperluan yang mendesak pastikan akses pendidikan terhadap kepada hak kesihatan seksual dan reproduktif (SRHR) yang menyeluruh. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: PERSATUAN Hak Kesihatan Wanita Malaysia (RRAAM) ingin menyuarakan kebimbangan serius berhubung kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun yang mengakibatkan kehamilan, serta kes-kes lain yang melibatkan hubungan seksual, rogol dan sumbang mahram dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Kelantan.
Insiden-insiden ini menggambarkan keperluan yang mendesak untuk memastikan akses kepada hak kesihatan seksual dan reproduktif (SRHR) yang menyeluruh, termasuk penyediaan pendidikan seksualiti komprehensif (CSE) yang tepat, menyeluruh, serta sesuai mengikut umur dan tahap perkembangan minda kanak-kanak dan remaja di Malaysia.
RRAAM ingin membidas kenyataan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, yang mendakwa bahawa “semenjak dua menjak ini, kanak-kanak atau remaja perempuan meminta untuk melakukan hubungan seksual”.
Kenyataan ini amat membimbangkan kerana ini menggambarkan generalisasi terhadap insiden-insiden serius yang melibatkan kanak-kanak bawah umur, serta seolah-olah meletakkan beban kesalahan dan tanggungjawab sepenuhnya kepada kanak-kanak atau remaja perempuan.
RRAAM ingin menegaskan bahawa menurut peruntukan undang-undang di bawah Akta Kanun Keseksaan, umur persetujuan (age of consent) ialah 16 tahun.
Oleh itu, apa-apa bentuk hubungan seksual dengan individu di bawah umur ini dianggap sebagai jenayah, tanpa mengambil kira sama ada persetujuan diberikan atau tidak lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan
kanak-kanak atau remaja, bersama orang dewasa.
Kes-kes sebegini melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur dan harus ditangani dengan penuh kepekaan, berasaskan prinsip perlindungan kanak-kanak dan hak asasi.
Ia sama sekali tidak boleh disamakan dengan kes yang melibatkan orang dewasa, dimana kes-kes ini perlu merujuk kepada Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOAC 2017) dan sebarang kenyataan umum yang menyalahkan mangsa bawah umur adalah tidak wajar, tidak beretika, dan berpotensi menjejaskan usaha pencegahan serta keadilan untuk kanak-kanak dan remaja yang terlibat.
RRAAM mengambil maklum statistik yang dikongsi oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengenai peningkatan kes rogol dan sumbang mahram sebanyak 22.3% antara tahun 2023 (206 kes) dan 2024 (252 kes).
Walaupun data ini membimbangkan, ia adalah penting untuk pola kejadian ini difahami dengan lebih mendalam dengan meletakkan keutamaan dalam mengumpul dan menganalisis data secara terperinci dan mengikut kategori seperti umur, jantina, latar belakang sosio-ekonomi, serta faktor-faktor lain yang berkaitan.
Kerjasama antara pihak berkuasa dan organisasi bukan kerajaan (NGO) melalui perkongsian data dan analisis data pelbagai sektor adalah kunci untuk merangka intervensi yang lebih efektif dan menyeluruh, serta memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak dan remaja.
Masih terdapat jurang besar dalam penyampaian pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif yang menyeluruh dan sesuai mengikut umur, terutamanya bagi golongan muda yang berisiko tinggi.
Tanpa akses kepada pendidikan seksualiti komprehensif, ramai remaja tidak mendapat pengetahuan yang mencukupi tentang tubuh badan mereka, konsep persetujuan (consent), dan hubungan yang sihat - sekali gus meningkatkan kerentanan mereka terhadap penderaan seksual, paksaan, dan kehamilan tidak dirancang.
Kes ini juga menunjukkan keperluan mendesak untuk menghentikan normalisasi penderaan seksual terhadap kanak-kanak, yang sering disenyapkan oleh stigma masyarakat, rasa malu, dan tekanan untuk menjaga maruah keluarga.
Apabila penderaan seksual dianggap sebagai isu yang harus disorokkan dan tidak dibincangkan secara terbuka, ia bukan sahaja menafikan keadilan kepada mangsa, tetapi turut mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelaku terus bebas tanpa dihukum setimpal.
Sudah tiba masanya untuk kita memecahkan kesunyian ini dan mengangkat suara mangsa melalui sokongan berasaskan trauma, pendidikan masyarakat, dan tindakan undang-undang yang tegas.
Oleh itu, RRAAM menyeru supaya Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, serta kementerian dan agensi lain yang relevan, untuk segera mengambil langkah berikut:
1. Melaksanakan Pendidikan Seksualiti Komprehensif atau Comprehensive Sexuality Education (CSE) di sekolah yang merangkumi kemahiran insaniah seperti perbincangan tentang persetujuan dan saling menghormati antara satu sama lain,pengetahuan tentang autonomi tubuh badan, kaedah pencegah kehamilan selain dari mengelak dari hubungan seksual.
2. Memperluaskan dan memperkukuh program-program berasaskan SRHR dalam komuniti, terutamanya di kawasan luar bandar, terpencil, dan bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. Program ini perlu memberi tumpuan kepada pemberian maklumat, akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif yang berkualiti, serta sokongan psikososial kepada golongan muda, wanita, dan kelompok rentan. Kerjasama
antara agensi kerajaan, NGO, dan komuniti setempat adalah penting bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
3. Memperkukuh kerjasama antara sektor melalui perkongsian data dan maklumat antara agensi kerajaan, NGO, serta pihak berkepentingan lain dalam isu SRHR dan perlindungan kanak-kanak. Usaha ini penting bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan adalah berdasarkan bukti, menyeluruh, serta mengambil kira keperluan sebenar komuniti. Pendekatan antara sektor dapat mempercepatkan tindakan respons,
pemantauan kes, dan penyediaan sokongan yang sesuai kepada mangsa dan keluarga mereka.
Disokong Oleh:
1. Pertubuhan Jaringan Kebajikan Komuniti (JEJAKA)
2. FYI KL
3. EMPOWER
4. Kolektif Feminis Malaysia (KFM)
5. All Women’s Action Society (AWAM)
6. Life Under Umbrella
7. HUSH Collective
8. Gibbon Conservation Society
9. SEED Malaysia
10. Justice for Sisters (JFS)
11. Reproduktif Health Association of Kelantan (ReHAK)
12. Pertubuhan Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP.MY)
13. KRYSS Network
14. Sisters in Islam (SIS)
15. Persatuan Endometriosis Malaysia (MyEndosis)
* Artikel ini ditulis oleh Persatuan Hak Kesihatan Wanita
#gangguan seksual #bawah umur #NGO #Kementerian Pendidikan