MALAYSIA

Toleransi beragama, keselamatan rumah ibadat asas keharmonian - Ahmad Zahid

Bernama 02/02/2026 | 16:15 MYT
Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan pada Perasmian Bangunan Tambahan Baharu (Fasa 1) Madrasathul Gouthiyyah (Surau Jumaat) hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pengukuhan toleransi beragama, pembentukan akhlak serta keselamatan rumah ibadat perlu diberikan perhatian dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.


Ringkasan AI
  • Kepentingan pengukuhan toleransi beragama, pembentukan akhlak, dan keselamatan rumah ibadat ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di negara.
  • Contoh Brickfields dengan lebih 17 rumah ibadat pelbagai agama menjadi ilustrasi pentingnya saling menghormati dan bertoleransi dalam masyarakat bandar.
  • Pembangunan rumah ibadat perlu memberi penekanan pada fungsi sosial sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, sambil umat Islam perlu tunjukkan akhlak terbaik dalam menguruskan perbezaan agama.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keperluan itu semakin signifikan khususnya di kawasan bandar yang menempatkan pelbagai rumah ibadat sekali gus memerlukan sikap saling menghormati serta adab yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Menjadikan Brickfields di sini sebagai contoh, beliau berkata kawasan itu menempatkan lebih 17 rumah ibadat pelbagai agama termasuk gereja dan kuil.

"Kita mesti belajar menghormati agama lain. Dalam keadaan inilah Malaysia menjadi sebuah negara yang harmoni, bertoleransi dan berbilang kaum," katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan baharu (Fasa 1) Madrasathul Gouthiyyah (Surau Jumaat), Brickfields di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pembangunan rumah ibadat harus memberikan penekanan seimbang antara aspek fizikal dan pemakmuran fungsi sosial sebagai pusat pertemuan dan aktiviti kemasyarakatan.

Selain itu, beliau berkata umat Islam perlu menunjukkan contoh terbaik menerusi akhlak dan adab dalam menguruskan perbezaan.

"Sama ada perbezaan sesama umat Islam atau dengan penganut agama lain, kita mesti berpegang pada prinsip toleransi beragama," katanya.

Sementara itu, bangunan tambahan yang siap bulan lepas bertujuan menangani peningkatan jemaah dan aspek keselamatan di surau berkenaan khususnya pada Jumaat.

Surau yang bermula sebagai madrasah pada 1987 dan dinaik taraf kepada Surau Jumaat pada 2012 itu berdepan cabaran kapasiti apabila hanya mampu menampung kira-kira 800 jemaah, menyebabkan solat terpaksa dilaksanakan di luar kawasan surau dan di atas jalan raya.

Pada masa ini, penutupan sementara jalan utama selama kira-kira 30 minit ketika solat Jumaat dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah.

-- BERNAMA

#Solat Jumaat #kawasan surau #aspek keselamatan #rumah ibadat