MALAYSIA
'Tolong anak akak tak bernyawa, suami tak sedarkan diri'
Masturadiana menunjukkan gambar kenangan abang kandungnya bersama anaknya Muhammad Nur Daniel tiga bulan. - Foto Sinar Harian
MELAKA: "Yana, Yana tolong akak Yana, anak akak dah tak bernyawa, dah lemah sebab Rul tiba pengsan, dia hempapkan muka (bayi) dengan lengannya.
Demikian kata Masturadiana Ibrahim, 33, ketika menceritakan didatangi kakak iparnya, Azura Abdul Malik Yaher, 40, dalam keadaan cemas ke rumahnya yang terletak di hadapan rumah keluarga itu di Kampung Perigi Hang Tuah di sini, pada Khamis.
Masturadiana yang bekerja sendiri berkata, dia terus bergegas ke rumah kakaknya dan melihat anak saudaranya lelakinya, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy yang berusia tiga bulan dalam keadaan terkulai dan lemah dengan wajah kebiruan.
Menurutnya, dalam masa yang sama dia melihat abangnya, Nurul Effendy Ibrahim, 35 yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil bersebelahan anak saudaranya itu.
Katanya, ketika itu dia sempat merasa nadi di leher anak bongsu daripada tiga beradik itu yang masih bernyawa lalu terus membawa kakak iparnya bersama bayi untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
"Bila dah hantar kakak ipar ke hospital saya pulang ke rumah dan ketika itu ambulans bersama pegawai perubatan telah tiba namun memaklumkan abang kandung saya telah meninggal dunia dipercayai lebih sejam.
"Saya kemudian menghubungi kakak ipar dan ketika itu dia memaklumkan bayi masih sedang mendapatkan rawatan tetapi tidak lama kemudian mangsa disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Tambahnya, sedih memandangkan bukan sahaja kehilangan abang kandung yang bekerja sebagai mekanik malah pasangan suami isteri yang menunggu selama 15 tahun untuk mendapat bayi ketiga mereka turut kehilangan bayi mereka.
Jelasnya, malam sebelum kejadian kakak iparnya memaklumkan arwah abangnya ada mengadu mengalami sakit dada, namun tidak mendapatkan rawatan ke hospital.
"Sebelum ini abang hanya sakit biasa seperti gout sahaja dan tak ada pun disahkan sakit jantung," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melakam berkata, pihaknya akan membantu dari segi pengurusan jenazah kedua beranak itu.
"Bantuan termasuk menyediakan van jenazah untuk membawa pulang kedua beranak ini selepas selesai proses bedah siasat sebelum di kebumikan di tanah perkuburan Islam.berhampiran," katanya.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#anak meninggal dunia dihempap bapa
#Masturadiana Ibrahim
#Nurul Effendy Ibrahim
#bapa meninggal akibat sakit jantung