'Tolong jejaki Muhammad Ridzuan, sudah 50 jam dia hilang' - Bapa remaja OKU

Harits Asyraf Hasnan
Februari 17, 2018 07:07 MYT
Selepas 50 jam hilang, keluarga Muhammad Ridzuan Abdul Shokor masih belum menerima sebarang perkembangan positif berkenaan kehilangan remaja kelainan upaya itu. - Foto Ihsan Keluarga
Selepas 50 jam hilang, keluarga Muhammad Ridzuan Abdul Shokor masih belum menerima sebarang perkembangan positif berkenaan kehilangan remaja kelainan upaya (OKU) itu.
Bapanya, Abdul Shokor Abdul Talib berkata anak keduanya itu yang mengalami masalah pembelajaran didapati hilang sejak tengah hari 15 Februari lalu.
Malah, bapanya mempersoalkan mengapa anaknya itu membawa beg sekolah bersama beberapa helai pakaian termasuk kad pengenalan dan kad OKU.
"Kami tidak ada sebarang masalah. Kami tidak marah dia dan dia pun tidak merajuk atau apa-apa.
"Sebelum itu, dia tolong mak dia basuh dan sidai pakaian. Kalau dia tak mahu tolong, dia akan tunjukkan emosi dia. Tapi dia normal sahaja.
"Kami perasan beg dan beberapa pakaian dia pun hilang. Jadi mungkin dia bawa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Jelasnya, kali terakhir Muhammad Ridzuan memakai baju-T berwarna jingga dan berseluar sukan panjang berwarna gelap.
Dia dilaporkan hilang kira-kira pukul 1 tengah hari 15 Februari lalu di kediaman mereka di Pangsapuri Putra Indah, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan.
Abdul Shokor berkata dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Serdang, namun belum menerima sebarang perkembangan positif.
Beliau meminta jasa baik mana-mana individu yang menjumpai anaknya seperti gambar tertera untuk membawa anaknya ke balai polis berdekatan.
#Abdul Shokor Abdul Talib #masalah pembelajaran #Muhammad Ridzuan Abdul Shokor #OKU #OKU hilang #Pangsapuri Putra Indah #polis #remaja #remaja hilang