Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menafikan terlibat dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Tommy dalam satu kenyataan pada Sabtu memberikan penjelasan terperinci tentang garis masa kes tersebut di mana Riza didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Julai tahun lalu dan beliau membuat keputusan untuk menuduhnya.

"Ini merujuk kepada kenyataan akhbar SPRM bertarikh 14 Mei lalu bertajuk 'Persetujuan dilepas tanpa dibebaskan Riza Aziz, kerajaan bakal terima semula aset USD107.3 juta'.

"SPRM menyebut 'Persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas'. Ia adalah satu pembohongan.

BACA: Kes 1MDB: Anak tiri Najib, Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan

"Satu-satunya keputusan lain yang saya ambil dalam kes terhadap Riza adalah melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan," jelasnya.

18 November lalu, peguam Riza mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara agar mengkaji semula tuduhan jenayah yang dikenakan terhadap anak guamnya itu.


Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak pernah bersetuju dengan permintaan mereka untuk dibebaskan dan surat itu diserahkan kepada Sri Ram untuk dikaji sebelum mengesyorkan respons yang perlu kepadanya sebagai Peguam Negara ketika itu.

Justeru jelasnya, sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari, beliau tidak mendapat nasihat daripada Sri Ram berhubung perkara itu, maka Tommy mengesakan beliau tiada kaitan dengan keputusan representasi Riza.

Tommy turut mendakwa perkara itu menunjukkan bahawa keputusan mahkamah menerima representasi Riza yang membawa kepada keputusan melepas tanpa membebaskan itu dibuat antara 2 April hingga 14 Mei lalu yang mana beliau bukan lagi Peguam Negara.


Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara berjumlah RM465.3 juta (AS$107.3 juta) ekoran keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza.

SPRM berkata jumlah wang yang dikembalikan itu adalah persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh dan ia adalah pelepasan bersyarat.

Menurut SPRM, persetujuan itu dicapai antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Tommy.