Tong gas memasak meletup, wanita melecur pada muka dan badan

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 23, 2023 05:58 MYT
Anggota bomba mendapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah. - Foto JBPM
BAYAN LEPAS: Seorang wanita melecur pada bahagian badan dan muka selepas tong gas di rumah sewanya di Flat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang meletup dalam kejadian awal pagi tadi.
Mangsa berusia 54 tahun itu berjaya diselamatkan oleh jirannya sebaik menyedari kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi.
Ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di bilik kediaman yang disewanya itu.
Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.18 pagi seterusnya bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di tempat kejadian anggota bomba mendapati berlaku kebocoran gas sehingga menyebabkan letupan di dalam rumah.
"Terdapat seorang mangsa wanita melecur hampir 60 peratus pada badan dan muka. Kebakaran terlebih dahulu dipadamkan oleh jiran mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Operasi berjaya dikawal pada jam10 pagi tadi dan mangsa telah diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
#tong gas meletup #wanita melecur #Bayan Lepas #Bomba Pulau Pinang