MELAKA: Seorang tonto didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan menjadi orang tengah untuk menerima suapan bagi pihak dua pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman denda antara RM1,500 hingga RM10,000 terhadap Norsham Ahmad, 51, dan memerintahkannya dipenjara antara satu hingga enam bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa menerima RM34,855 menerusi transaksi secara dalam talian daripada lapan syarikat dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas penjawat awam iaitu pegawai JPJ untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori dimiliki syarikat terbabit.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sejak Januari 2017 hingga Mac 2021 di sekitar Melaka mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua pegawai JPJ menubuhkan sindiket digelar Saudagar bertujuan melindungi lori-lori lebih muatan daripada diambil tindakan undang-undang oleh agensi berkenaan.

Logo yang digunakan sindiket itu adalah sebuah syarikat jenama minuman supaya penguat kuasa JPJ Melaka kenal bahawa lori tersebut telah dibayar wang perlindungan.

Terdahulu, peguam Hafizatul Shahirah Jamari yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum memandangkan Norsham hanya bertindak sebagai orang tengah bagi menerima suapan selepas diyakinkan oleh kenalannya untuk melakukan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal bagi mencerminkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

-- BERNAMA