'Total lockdown': Barangan keperluan mencukupi, tidak perlu pembelian panik - Nanta

Bernama
Mei 29, 2021 12:31 MYT
KPDNHEP memberi jaminan bekalan barang keperluan di seluruh negara stabil dan mencukupi semasa 'lockdown' itu. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini memberi jaminan bahawa, bekalan makanan keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi bagi menghadapi 'total lockdown'.
Beliau berkata, seperti mana pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas yang tidak merekodkan sebarang kes bekalan barangan keperluan asas terputus, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yakin, bekalan barang keperluan di seluruh negara stabil dan mencukupi semasa 'lockdown' itu.
"Pengguna diseru tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan, bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan," katanya dalam satu kenyataan.
Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 semalam, memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau 'total lockdown' sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun.
Nanta berkata, pemantauan akan terus dilaksanakan penguat kuasa kementerian setiap hari, bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.
Nanta dalam pada itu berkata penguatkuasaan Ops Had 2J, yang memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan had masa maksimum dua jam keberadaan pelanggan di premis perniagaan, ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh kelak.
Bagaimanapun beliau berkata, SOP PKP 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.
"Kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan, akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan, yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 meningkat," katanya.
-- BERNAMA
#total lockdown #malaysia lockdown #PKP Penuh #malaysia under lockdown #pembelian panik #barangan mencukupi #KPDNHEP #Alexander Nanta Linggi