KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi kelonggaran dengan membenarkan gerai jualan hasil pekebun, penternak dan nelayan di tepi jalan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia bertujuan membolehkan golongan tersebut meraih pendapatan harian.

"Gerai-gerai jualan sayur, ikan dan buah-buahan boleh beroperasi di bahu-bahu jalan raya bagi membolehkan petani dan nelayan menjual hasil tangkapan dan tanaman mereka.

"Bagi nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan Lesen Perikanan di Pejabat Perikanan Daerah.

"Pengusaha-pengusaha gerai juga dinasihatkan untuk mendapatkan Lesen Operasi di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan.

"Diingatkan bahawa tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang berniaga tanpa lesen operasi yang sah," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah kes positif COVID-19 harian di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 64 kes, iaitu daripada 318 kes kepada 254 kes pada Rabu.

Tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Pitas, Ranau, Kuala Penyu, Sipitang dan Nabawan.

"Bilangan daerah zon hijau bagaimanapun berkurangan kepada tiga dan ini menandakan terdapat kebarangkalian berlakunya ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan," katanya.