KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hanya meluluskan 17 peratus, iaitu 18,661 daripada 105,368 permohonan kebenaran beroperasi projek pembinaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 1 Jun hingga 30 Jun 2021.

Menurut CIDB dalam satu kenyataan pada Jumaat, permohonan-permohonan berkenaan telah diproses melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Dari 1 hingga  30 Jun 2021 jumlah keseluruhan permohonan yang diterima adalah 108,426, merangkumi permohonan baharu serta permohonan rayuan.

"Daripada jumlah itu, 82,665 merupakan permohonan baharu dan 25,761 adalah permohonan rayuan.

"Sebanyak 97 peratus atau 105,368 daripada semua permohonan, iaitu 80,383 permohonan baharu dan 24,985 permohonan rayuan telah diproses," kata kenyataan itu.

Jelas CIDB, 68,905 atau 86 peratus daripada permohonan baharu daripada jumlah yang telah diproses tidak diluluskan, dengan hanya 11,478 atau 14 peratus permohonan yang lain diluluskan.

"Dari 24,985 jumlah rayuan yang telah diproses pula, 17,802 atau 71 peratus daripada permohonan rayuan tidak diluluskan, sementara hanya 7,183 atau 29 peratus sahaja yang diluluskan," kata kenyataan itu.

Menurut CIDB, antara punca banyak permohonan tidak diluluskan adalah projek dilaksanakan tidak termasuk di dalam senarai projek pembinaan kritikal di dalam SOP sektor pembinaan PKP 3.0 yang telah diwartakan,  projek pembinaan tidak diisytiharkan kepada CIDB di CIMS CIDB serta nama projek pembinaan yang terlibat tidak dinyatakan di dalam CIMS MITI.

Antara lain katanya, kelulusan itu juga bergantung kepada ralat yang dilakukan ketika memohon kebenaran beroperasi tersebut.

Selain itu, katanya CIDB juga mendapati segelintir kontraktor menjalankan kerja pembinaan tanpa berdaftar dengan pihak CIDB.

"CIDB menggesa penggiat industri pembinaan untuk mematuhi
semua syarat-syarat permohonan kebenaran beroperasi.

"Tapak pembinaan yang didapati beroperasi tanpa kebenaran yang sah akan diarahkan tutup dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

CIDB turut memberi jaminan akan terus mengawal ketat proses kelulusan ke arah menyokong objektif penurunan kes COVID-19 dalam negara.