KUALA LUMPUR: Surat kebenaran beroperasi bagi tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) fasa pertama bermula 1 Jun ini akan dikeluarkan menerusi sebuah pusat sehenti yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, surat tersebut hanya akan dikeluarkan setelah disahkan kementerian-kementerian berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa langkah itu diambil selepas semua surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan oleh MITI sebelum ini adalah terbatal mulai 1 Jun.

“Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini memutuskan supaya sebuah pusat sehenti (one stop centre) yang diselaraskan oleh MITI diwujudkan untuk mengeluarkan surat kebenaran beroperasi bagi sektor perkhidmatan perlu setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan,” menurut kenyataan itu.



Permohonan baharu bagi kebenaran perjalanan untuk bekerja perlu dikemukakan semula melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diselaraskan oleh MITI.

Sistem permohonan itu turut melibatkan semua kementerian yang mengawal selia 17 sektor perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan tersebut.




Bagaimanapun, laman sesawang portal CIMS 3.0 MITI masih belum dikemas kini setakat jam 6.30 petang kerana masih menampilkan mesej bahawa permohonan melalui portal tersebut hanya bagi sektor perkilangan sahaja.

Sebelum ini, MKN menyatakan bahawa surat kebenaran perlu dimohon daripada kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor tertentu.