Skip to main content

Malaysia

Tourism Malaysia lancar 'Creator Family' untuk promosi pelancongan lestari, mesra alam

KUALA LUMPUR, Sept 1 - Tourism Malaysia Package Development Division director Zuraini Abdul Ghani (fourth, right), representing director-general Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, joins influencers for a group photograph at the launch of Creator Family, a regional creator network promoting eco-friendly travel and environmental initiatives through digital content creators across Asia, in Bukit Bintang today. - fotoBERNAMA (2026)
Program Creator Family adalah selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 yang sedang berlangsung, dengan menggabungkan penerokaan destinasi pelancongan bersama dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia telah melancarkan “Creator Family”, sebuah rangkaian pencipta kandungan yang bertujuan mempromosikan pelancongan lestari dan menyokong inisiatif pemeliharaan alam sekitar menerusi para penggiat kandungan digital di seluruh Asia.

Platform itu menghubungkan jenama, pencipta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengetengahkan produk serta tarikan pelancongan Malaysia di samping menggalakkan amalan lestari dan usaha pemuliharaan marin.

Inisiatif itu, yang dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Zuraini Abdul Ghani bagi pihak Ketua Pengarahnya, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, memperkenal dua program utama iaitu "Routes & Roots" dan "Sea Heroes".

Routes & Roots menampilkan perjalanan merentas negeri di seluruh Malaysia, dengan musim sulungnya memfokus kepada Semenanjung Malaysia selain meneroka keunikan negara menerusi budaya tempatan, masyarakat dan pengalaman kehidupan seharian.

Sea Heroes pula ialah program berteraskan kesedaran yang mengetengahkan usaha rakan kongsi pemuliharaan marin menerusi pengalaman langsung para pencipta kandungan sekali gus membantu memperluas perkongsian ilmu yang ditimba selain memberi inspirasi kepada masyarakat untuk memahami kepentingan melindungi lautan.

Bercakap pada majlis pelancaran itu, Zuraini berkata program Creator Family adalah selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 yang sedang berlangsung, dengan menggabungkan penerokaan destinasi pelancongan bersama dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kami berharap program ini dapat menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi di luar kebiasaan serta mengenali kisah, cita rasa, masyarakat dan pengalaman yang menjadikan setiap destinasi unik di samping memelihara khazanah alam semula jadi dan budaya yang dimiliki Malaysia.

“Meskipun program ini menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negara, impaknya boleh diperluas... melalui pencipta kandungan dan audiens serantau mereka, kisah dan pengalaman yang dirakam di sini mampu memperkenal Malaysia kepada pelancong dari seluruh Asia dan luar rantau, selain memberi inspirasi kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman meneroka negara ini," katanya. 

Pengasas Creator Family Sangeet Singh berkata rangkaian itu bertujuan mengubah naratif pelancongan dengan memberi penekanan kepada usaha pemuliharaan selain menunjukkan bagaimana penerokaan destinasi yang kurang dikenali mampu mendorong pelancong untuk turut serta dalam usaha melindungi alam sekitar.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran iCAUR Auto Malaysia Sdn Bhd Daniel Lai berkata syarikat itu berbangga dapat membantu para pencipta kandungan dalam meneroka destinasi tempatan yang kurang dikenali di pelbagai bentuk muka bumi selaras dengan janji jenama berkenaan yang mengetengahkan gaya hidup berteraskan pengembaraan elektrik.

Program Routes & Roots, yang dikendalikan oleh Wayne Phoo (the Story Traveller), meneroka bagaimana makanan tempatan, kepercayaan dan kehidupan seharian membentuk identiti masyarakat di pelbagai wilayah di Semenanjung Malaysia menerusi siri dalam talian empat episod, yang mengetengahkan persekitaran sebenar dan interaksi tulen bersama dengan masyarakat berbanding tarikan pelancongan yang direka atau diatur. 

Jadual perjalanan program itu merangkumi kepelbagaian landskap budaya dan geografi termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Pulau Pinang, Pulau Redang, Kuala Selangor dan Gopeng dengan penyertaan pencipta kandungan dari Indonesia, India serta Filipina. 

Selain itu, aktiviti sulung Sea Heroes yang berlangsung pada 8 Jun sempena Hari Lautan Sedunia telah berjaya mengeluarkan sisa marin dari dasar laut serta jaring hantu sepanjang 10 meter di perairan Pulau Perhentian dengan kerjasama rakan kongsi penyelam dan pusat peranginan tempatan. 

Antara misi alam sekitar yang bakal dilaksanakan di bawah kempen itu ialah "The Clean Wave", iaitu aktiviti pembersihan pantai sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa dan "Reef Warriors," inisiatif yang memfokus kepada kawalan populasi tapak sulaiman mahkota berduri serta tinjauan terumbu karang.

Platform itu mendapat sokongan beberapa rakan kongsi jenama, antaranya iCAUR Auto Malaysia sebagai Rakan Mobiliti Rasmi, GoPro, Mamee dan TNG eWallet manakala Small Towns Malaysia bertindak sebagai Rakan Produksi serta GO Communications sebagai Rakan Perhubungan Awan dan Komunikasi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement