BANGKOK: Misi jualan pertama Tourism Malaysia ke Thailand dijangka membantu membuka semula pasaran pelancong Thailand ke Malaysia bagi menyokong pemulihan sektor pelancongan negara selepas pandemik COVID-19.

Misi jualan diketuai oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri dan berlangsung di dua tempat utama, Bangkok dan wilayah selatan Songkhla, bermula Isnin dan berakhir pada Jumaat.

Agensi pelancongan Malaysia yang turut terlibat terdiri daripada syarikat penerbangan, ejen pelancongan, pengusaha hotel dan pemilik produk yang berpangkalan di Malaysia.

Nancy berkata misi jualan itu akan menawarkan maklumat akan lokasi yang menjadi tarikan pelancong dan perkembangan pada masa depan serta menjalin hubungan baharu dengan pemain industri pelancongan di Thailand.

"Kami berharap ia (misi jualan) akan mewujudkan perkongsian baharu untuk menarik lebih ramai rakyat Thailand memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka...Kita bukan sahaja rapat sebagai negara jiran, tetapi Malaysia juga antara destinasi yang patut dikunjungi.

"Ini adalah peluang terbaik bagi kami bukan sahaja untuk menyambung semula hubungan, tetapi juga untuk menggiatkan semula industri pelancongan kedua-dua negara sambil mengharapkan pemulihan yang mampan, terutamanya di rantau ASEAN," katanya pada majlis makan malam sempena misi jualan ke Thailand di sini pada malam Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Thailand merupakan antara destinasi pasaran jarak pendek yang penting bagi Malaysia.

Pada 2019, Malaysia mengalu-alukan ketibaan 1,884,306 pelancong dari Thailand dan hampir 70 peratus adalah pengembara berulang.

Pengembara Thailand melancong ke Malaysia untuk bercuti, membeli-belah dan melawat rakan dan saudara mara.

Nancy berkata negeri yang paling banyak dilawati oleh rakyat Thailand termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, dan Pahang.

Nancy berkata Malaysia mensasarkan untuk menarik 800,000 pelancong Thailand tahun ini.

"Kami mahu melihat rakyat Thailand mengungguli jumlah ketibaan pelancong di Malaysia. Pada masa ini, Thailand menduduki tempat kedua, selepas Singapura.

"Selepas dua tahun dilanda COVID-19, kami menawarkan produk dan perkhidmatan baharu untuk memenuhi permintaan perjalanan terutamanya dalam kalangan rakyat Thailand.

"Sebagai contoh, ramai orang Thai mungkin tidak pernah ke dua negeri Borneo Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

"Justeru, kami berharap dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk menerokai Sabah dan Sarawak," katanya.

Nancy berkata industri pelancongan telah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi di Malaysia.

Pada 2019, sektor pelancongan menyumbang 15.9 peratus kepada ekonomi Malaysia dan menyokong 3.6 juta pekerjaan, serta membentuk 23.6 peratus daripada jumlah tenaga kerja di negara ini.

-- BERNAMA