Masyarakat di Malaysia sememangnya sudah lali dengan pelbagai kisah makhluk halus yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Dan bukan perkara pelik juga apabila kisah-kisah sedemikan tiba-tiba hangat diperkatakan dalam kehidupan realiti.

Itulah situasi yang kini melanda penduduk Kampung Talak di Tumpat, Kelantan.

Bukan sekadar cerita mulut ke mulut, sebaliknya penduduk kampung sendiri mendakwa sudah sering terserempak dengan makhluk yang dikatakan sebagai toyol itu.

Lebih 1,000 penduduk Kampung Talak di sini tidak lena tidur kerana gangguan dan kecurian yang dicetuskan oleh makhluk halus tersebut.

Mereka mendakwa toyol peliharaan itu mencuri wang dalam kuantiti sedikit dan memasuki beberapa buah rumah penduduk kampung pada sebelah malam untuk tujuan berkenaan.

Kehadiran toyol peliharaan ini dikatakan sudah lebih setahun di kampung ini yang menimbulkan huru hara termasuk perbalahan antara suami isteri yang kehilangan wang kerana saling tuduh menuduh antara satu sama lain kerana kehilangan wang dalam simpanan.

Berkongsi pengalamannya, seorang penduduk, Semah Mat mendakwa suaminya pernah terlihat toyol menyelinap keluar dari ruang pintu rumahnya.

“Suami saya pernah nampak, makhluk itu berwarna hijau dan berketinggian lebih kurang sekaki 12 inci. Mulanya ia menceroboh masuk rumah jiran, lepas tu ia menghala ke rumah kami. Tapi ia melarikan diri kerana terkejut melihat suami saya,” kata Semah.

Bagi Che Bidah Che Wan yang pernah kehilangan wang RM500 ringgit, dia mengakui kehadiran toyol di kampung itu mengganggu ketenteraman penduduk.

“Pintu terkunci dan tidak ada tanda orang luar cuba pecah masuk. Rumah juga sentiasa berkunci,” ujarnya.

Selain melakukan solat hajat dan berjaga, mereka juga turut mengamalkan petua menabur kacang hijau dan meletakkan bedak bagi mengesan toyol peliharaan itu.

Kunjungan Astro AWANI ke Kampung Talak pada Sabtu mendapati sebahagian besar penduduk kampung bimbang dengan kehadiran toyol peliharaan itu.

Mereka turut merayu supaya pengamal perubatan yang mempunyai pengetahuan menangkap toyol supaya tampil membantu.

Setakat ini, penduduk mendakwa sudah lebih 10 kejadian kecurian yang dikaitkan dengan kemunculan toyol berlaku di kampung tersebut, dalam tempoh sebulan.