DREBAR
Toyota Fortuner 2016 sudah muncul
Australia dan Thailand baru-baru ini menjadi lokasi-lokasi di mana SUV Toyota Fortuner baharu telah dipertontonkan kepada dunia. Model generasi kedua ini masih lagi mengekalkan penggunaan platform pikap Hilux tetapi ditambah-baik dengan pilihan enjin diesel terkini (cerita lebih terperinci pada akhir artikel).
Fortuner baharu ini (yang sudahpun mula dijual di Thailand, manakala jualan di Australia akan bermula lewat bulan Oktober nanti) kelihatan jauh lebih moden serta menarik berbanding dahulu.

Paling menonjol adalah penggayaan lampu hadapan dan bampar yang agresif. Pandangan dari sisi pula menunjukkan ‘overhang’ hadapan yang pendek, fender yang jelas serta lampu belakang yang membalut hingga ke sisi. Turut istimewa adalah cermin sisi-belakang yang digelapkan untuk memberi kesan bagaikan bumbung yang terapung.
Semua ini ditambah pula dengan spesifikasi yang ditambah baik termasuk pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.

Bagi memberikan kemampuan tambahan di atas permukaan lasak, differential belakang boleh dikunci untuk menyalurkan jumlah tork sama rata kepada keempat-empat tayar. Pemandu masih boleh memilih untuk memacu hanya dua tayar dengan memutar tombol kawalan di dalam kabin.

Antara ciri-ciri standard adalah kamera undur, tujuh beg udara dan corong penghawa dingin pada bahagian belakang. Selain itu pembeli diberikan sistem audio dengan skrin sentuh dan fungsi ‘Toyota Link’ untuk kemampuan ketersambungan.
Enjin
Antara fokus pada enjin-enjin baharu ini adalah pengekalan suhu ketika ia aktif. Ini dicapai melalui teknologi insulasi haba Thermo Swing Wall serta penggunaan bahan aluminium/silika pada piston yang 30% lebih efektif untuk mengekalkan suhu tinggi; dan kemudian penyejukkan selepas enjin dimatikan.

Enjin turbodiesel ini menggunakan pengecas turbo yang 30% lebih kecil daripada yang setandingnya beserta memberi tindak balas lebih pantas.