DREBAR
Toyota Prius generasi keempat akan tampil ke hadapan di Frankfurt
Tidak pelik jika kereta bakal menjadi fokus perhatian kebanyakan pengunjung pameran kereta Frankfurt 2015 minggu hadapan, tetapi kali ini, banyak juga yang akan meneliti Toyota Prius generasi baharu yang akan membuat penampilan pertamanya. Dan semalam, Toyota telah mengeluarkan beberapa gambar kereta ini untuk tontonan semua.
Toyota Prius generasi keempat ini menggunakan platform yang paling baharu yang dinamakan Senibina Generasi Terbaharu Toyota (TNGA) yang bukan sahaja 60% lebih kuat, tetapi juga menyediakan asas untuk pemanduan lebih lincah.
Sistem pacuan
Untuk sebuah hibrid, yang paling penting untuk dibincangkan sudah pasti adalah enjin dan komponen hibridnya. Namun, Toyota memilih untuk menyimpan maklumat ini untuk Frankfurt (tidak menghairankan). Apa yang didedahkan buat masa ini hanyalah enjin sekarang telah diberi banyak pembaharuan termasuk untuk mengurangkan berat komponen hibrid, di samping mengecilkan saiznya. Mengikut Toyota sendiri, penjimatan tambahan bagi penggunaan bahan api agak menarik di samping kecekapan haba yang ditingkatkan sebanyak 40%.

Kejuruteraan
Para jurutera telah berjaya merendahkan titik graviti sedan ini, dan bersama sistem gantungan double-wishbone rekaan baharu adalah antara sebab Prius baharu ini lebih lincah di atas jalan raya.
Badan kereta ini sendiri lebih besar dari sebelumnya – 60mm lebih panjang, 15mm lebih lebar dan 20mm lebih rendah.
Ruang dalaman yang sudahpun luas diberi imej yang lebih besar menerusi panel instrumen yang lebar. Papan pemuka juga lebih terasa bagai lebih mengepung pemandu, sekaligus memudahlan penggunaan serta pembacaan peralatan yang ada.
Antara sistem keselamatan yang dipasang pada Prius ini adalah Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem pra-pelanggaran, Lane Departure Alert, lampu utama automatik, dan Dynamic Radar Cruise Control (cruise control aktif).
Sejak pengenalan model ini pada tahun 1997 sebagai model hibrid pengeluaran besar-besaran pertama di dunia, Toyota telah berjaya menjual lebih daripada 3.5 juta unit kenderaan ini di dalam 80 negara.
Model ini akan meneruskan kecemerlangannya dengan pengenalan Prius generasi keempat apabila ia mula dijual di Jepun pada akhir tahun ini. Setelah itu, ia akan mula juga dijual di pasaran-pasaran lain, contohnya Australia yang dijangka akan melancarkannya pada awal tahun 2016.