MALAYSIA

TPM Ahmad Zahid adakan lawatan kerja ke China 4 hingga 7 November

Nazri Kahar 04/11/2025 | 07:10 MYT
Ini merupakan lawatan pertama Ahmad Zahid ke China pada 2025 dan membuktikan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan serta memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor kedua-dua negara. - Gambar/ Pejabat TPM
SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, akan mengadakan lawatan kerja ke China bermula hari ini hingga 7 November.


Ringkasan AI
  • Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke China dari hari ini hingga 7 November bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua negara dalam pelbagai sektor.
  • Ahmad Zahid akan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 serta membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala, terutamanya dalam sektor industri halal dan pendidikan TVET.
  • Delegasi Malaysia turut terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, pertukaran MoU antara syarikat Malaysia dan China dalam bidang industri halal, perdagangan, dan pelaburan untuk memperluaskan pasaran halal Malaysia di peringkat global.


Beliau akan diiringi oleh pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil-wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke China pada 2025 dan membuktikan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan serta memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala Malaysia-China dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam lawatan ini, Ahmad Zahid akan merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025.

Beliau juga dijadual bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal China dalam usaha memperkasa kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global, selain membuka peluang pasaran baharu seantero dunia.

Pada 2024, China merupakan destinasi eksport kedua halal Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM7.04 bilion.

Delegasi Malaysia juga dijadual terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, mengenai pengukuhan kerjasama dua hala, dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri halal serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Semasa lawatan tersebut, Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (China International Import Expo - CIIE) ke-8 dan merasmikan Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia – ACCCIM).

Beliau juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan China dalam bidang industri halal, perdagangan dan pelaburan.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974.

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009.

Nilai dagangan antara Malaysia dan China adalah RM484.12 bilion pada tahun 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).




#Ahmad Zahid Hamidi #Shanghai #China #lawatan kerja