NATIONAL
TPM Ahmad Zahid mulakan lawatan rasmi 3 hari ke Indonesia

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disambut oleh Menteri di Kementerian Agama Republik Indonesia Prof Nasaruddin Umar ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. - Foto BERNAMA
JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini petang Ahad bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bermula hari ini.
Ini adalah lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia susulan Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia ke Malaysia pada Januari lalu.
Pesawat khas yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada jam 7.01 petang waktu tempatan (8.01 malam waktu Malaysia).
Ketibaan Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, disambut oleh Menteri Agama Indonesia, Prof Dr Nasaruddin Umar MA.Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, Ahmad Zahid bakal mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka, bagi memperkukuhkan hubungan dua hala.
Timbalan Perdana Menteri dijangka membincangkan isu-isu semasa serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan yang memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industry halal, pembangunan luar bandar serta pengurusan bencana.
Selain itu, beliau juga akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta ) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat.
Ahmad Zahid turut menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Indonesia, serta merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di kalangan negara ASEAN.
Lawatan ini juga bakal mengukuhkan lagi hubungan sedia ada dan yang akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami