TPM Fadillah luang masa ziarah Menteri Kerja Raya di HKL

Bernama
Mac 15, 2023 22:40 MYT
Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) menziarahi Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan lutut. - Foto Facebook/Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pada Rabu meluangkan masa menziarahi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan lutut.
Fadillah, menerusi hantaran di Facebooknya, berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, turut serta melawat Nanta.
"Beliau (Nanta) turut berkongsi pengalaman beliau yang menerima layanan dan rawatan profesional daripada semua doktor, jururawat dan kakitangan HKL.
"Saya juga diberi penerangan ringkas oleh para doktor yang merawat beliau. Mendoakan beliau segera sembuh dan kembali bertugas seperti biasa," katanya.
-- BERNAMA
#Timbalan Perdana Menteri #Fadillah Yusof #Alexander Nanta Linggi #Alexander Nanta Linggi dirawat di HKL