NATIONAL

TPM Zahid kunjungi Gibran, perkukuh diplomasi serumpun

Nazri Kahar 21/04/2025 | 06:16 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan rasmi bersama Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka. - Foto DPMO
JAKARTA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan rasmi bersama Naib Presiden Indonesia , Gibran Rakabuming Raka, di Istana Wakil Presiden, Jakarta pada Isnin.


Ringkasan AI
  • TPM Zahid Hamidi mengadakan pertemuan rasmi dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di Istana Wakil Presiden, Jakarta.
  • Kerjasama dalam bidang TVET dan sektor halal dibincangkan, termasuk potensi industri halal yang besar dan kerjasama dalam Latihan Teknikal & Vokasional melalui UniKL.
  • Isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan kerjasama maritim turut dibincangkan untuk mengurangkan pencerobohan sempadan maritim dan meningkatkan perdagangan intra ASEAN.


Antara perkara utama yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin adalah berkaitan kerjasama dalam bidang Latihan Teknikal & Vokasional (TVET), melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan beberapa provinsi di Indonesia.

Menurut Ahmad Zahid, perbincangan mengenai kerjasama dalam sektor halal turut dijalankan bagi mengenal pasti cabaran dan peluang yang boleh diterokai bersama memandangkan potensi industri halal cukup besar dengan anggaran berjumlah AS$1.3 trilion.

Pertemuan dua pemimpin besar ini turut menyentuh isu-isu berkaitan Tenaga Kerja Indonesia di Malaysia (TKI) bagi sektor dipersetujui dengan memperkukuhkan lagi sistem saluran tunggal (Single Window System) yang telah dilaksanakan.

Ahmad Zahid juga menjelaskan Malaysia dan Indonesia bersepakat akan meningkatkan kerjasama pihak berkuasa maritim bagi mengelakkan pencerobohan sempadan maritim oleh nelayan kedua-dua negara.

Persetujuan sebelum ini oleh pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia berkesan mengurangkan kes tangkapan ke atas nelayan yang menceroboh perairan secara signifikan.

Menyentuh isu global Malaysia dan Indonesia perlu seiring dan bergerak dalam semangat ASEAN bagi menempuh cabaran perang dagang dan mengambil peluang yang terbuka luas untuk perdagangan intra ASEAN seperti pengeksportan minyak mentah sawit (CPO).

Pertemuan turut disertai empat orang Menteri Kanan Indonesia iaitu, Menteri Koordinator Bidang Politik & Keamanan, Budi Gunawan; Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia & Kebudayaan, Praktikno; Menteri Agama, Prof Dr Nasaruddin Umar; dan Menteri Kelautan & Perikanan, Sakti Wahyu Trenggono.

Urut mengiringi TPM Zahid dalam pertemuan ini, Menteri Petanian & Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.




#Ahmad Zahid Hamidi #Indonesia #Gibran Rakabuming Raka #diplomasi serumpun #perang dagang #terkini