MALAYSIA

TPM Zahid tiba di UK untuk lawatan kerja empat hari

Bernama 02/06/2025 | 09:46 MYT
Lawatan kerja itu bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-UK dengan memberi tumpuan kepada bidang TVET, pelancongan dan pelaburan. - Foto FB Zahid Hamidi
LONDON: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di United Kingdom (UK) pada Ahad bagi memulakan lawatan kerja empat hari.


Ringkasan AI
  • Ahmad Zahid Hamidi tiba di UK untuk lawatan kerja: Timbalan Perdana Menteri disambut oleh pegawai kedutaan dan kerajaan, dalam usaha memperkukuh hubungan Malaysia-UK.
  • Fokus lawatan meliputi TVET, pelancongan dan pelaburan: Beliau dijangka bertemu wakil institusi pendidikan, berinteraksi dengan pelajar MARA, serta merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi pasaran UK.
  • UK kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia: Lawatan ini bertujuan meningkatkan jaringan diplomatik dan menarik lebih banyak pelaburan, dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara mencapai RM16.80 bilion pada 2024.


Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Heathrow pada 8.30 malam tadi (3.30 pagi waktu Malaysia) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar serta pegawai kanan kedutaan dan agensi kerajaan berkaitan.

Lawatan kerja itu bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-UK dengan memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelancongan dan pelaburan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijangka bertemu wakil institusi terkemuka seperti University College London, menyampaikan syarahan umum mengenai hala tuju TVET negara serta berinteraksi bersama pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau akan turut merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi pasaran UK esok, bagi merancakkan aktiviti promosi pelancongan selain menarik pelabur dari Eropah ke Malaysia.

Lawatan itu juga akan menjadi medan penting untuk meningkatkan nilai strategik Malaysia-UK, memperluas jaringan diplomatik dan membuka lebih banyak peluang kerjasama untuk rakyat dan negara.

UK merupakan rakan dagang penting bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan pada 2024 mencecah RM16.80 bilion (AS$3.68 bilion).

-- BERNAMA




#Ahmad Zahid Hamidi #United Kingdom #lawatan kerja #hubungan Malaysia-UK #terkini