[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Tracker Sumud Nusantara himpun masyarakat dunia ikuti perkembangan misi kemanusiaan ke Gaza

Bernama 01/10/2025 | 21:05 MYT
Sistem tracker Sumud Nusantara hasil air tangan sukarelawan MAPIM, bukan sahaja memaparkan perkembangan pelayaran Misi Global Sumud Flotila, malah ia menghimpunkan segenap masyarakat dunia untuk peduli nasib Gaza. - Gambar Bernama
SEPANG: Sistem Tracker Sumud Nusantara, satu inovasi yang lahir hasil air tangan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bukan sahaja memaparkan perkembangan pelayaran misi Global Sumud Flotilla (GSF), malah ia menghimpunkan segenap masyarakat dunia untuk peduli nasib Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sistem tracker yang dibangunkan dalam tempoh hanya empat hari itu membolehkan dunia melihat sendiri perjalanan getir misi GSF membawa bekalan kemanusiaan dan aktivis antarabangsa untuk membantu penduduk Gaza.

"Alhamdulillah, saya rasa begitu berbangga kerana inovasi ini dapat membuka mata, menarik minat dan juga pupuk minat orang ramai mengikuti perkembangan misi kemanusiaan ke Gaza.

"Masa dia tengok tracker ini baru dia rasa dia dah ada bersama dengan Sumud Nusantara. Rasa kekitaan itu merasakan seluruh Malaysia, ini (GSF) adalah misi kita," katanya kepada media yang berada dalam mod siap siaga, di sini, sejak pagi ini.

Beliau berkata, MAPIM menggunakan pendekatan teknologi dalam usaha memastikan apa yang menimpa Gaza dan penduduknya sampai ke pengetahuan masyarakat antarabangsa.

"Nak terjemahkan itu dan nak bawa gelombang (Gaza) itu bukan sekadar di sosial media tetapi dia mesti kena ada fakta-fakta yang dibawa. Jadi bila tracker ini dibuat oleh rakyat Malaysia, itu menunjukkan dalam hal kebaikan ini kami boleh buat dalam pelbagai cara," katanya.

Sementara itu, pembangun sistem Tracker Sumud Nusantara, Dr Mohd Hafiz Md Hanif berkata, aplikasi laman web itu ditambah baik daripada sistem tracker yang dibangunkan pasukan GSF.

"Kami mula bangunkan web tracker ni dalam masa lebih kurang tiga hingga empat hari setelah kami dapat menemukan, GSF juga ada keluarkan tracker mereka, jadi kami hubungi mereka dan untuk dapatkan akses Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API).

"Bila kami dah dapat akses API tu, kami banyak menambah ciri, jadi daripada awal tu hanya boleh tengok keberadaan vesel ataupun kapal-kapal, kami mula tambah dengan ada garis masa, garis masa main balik, data sejarah dan data terkini latitud dan longitud setiap kapal, setiap 15 minit.

"Ada juga tambahan ciri seperti zone iaitu pengguna boleh melihat dan mengikuti kapal itu sudah berada di zon mana. Kami juga menyediakan pengiraan automatik daripada kapal ke point of interest supaya pengguna boleh mengetahui berapa lama lagi kapal akan tiba, jaraknya dari kapal ke lokasi itu, malah jarak dari lokasi itu ke daratan juga turut dipaparkan," katanya yang juga Pengarah Strategik MAPIM.

-- BERNAMA




#Global Sumud Flotilla #Sistem Tracker Sumud Nusantara #sukarelawan MAPIM #misi kemanusiaan Gaza