Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Tradisi pertukaran pengawal Istana Negara lambang komitmen Tentera Darat, kekal nilai regimental

Faida Rahim 22/11/2025 | 07:40 MYT
Malek berkata, istiadat berkenaan yang merangkumi pertukaran panji-panji bermula pada tahun 1959, beberapa tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara bukan sahaja melibatkan tugas pengawalan keselamatan, tetapi turut mengekalkan tradisi dan nilai regimental yang telah wujud sejak lebih enam dekad lalu.


Ringkasan AI
  • Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara mengekalkan tradisi regimental sejak 1959, menunjukkan komitmen terhadap Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan keselamatan Istana Negara.
  • Proses pertukaran pengawal dilakukan 2-3 kali setahun dengan tempoh penugasan 3-6 bulan, melibatkan tugas menjaga keselamatan istana serta kawalan kehormatan untuk ketua negara dan acara rasmi.
  • Penglibatan elemen berkuda dalam istiadat ini sejak 2015 menambah nilai estetika serta keunikan kepada tradisi, menarik perhatian pelancong dan pengunjung.


Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, istiadat berkenaan yang merangkumi pertukaran panji-panji bermula pada tahun 1959, beberapa tahun selepas negara mencapai kemerdekaan, ketika itu dilaksanakan di Istana Negara lama.

“Tradisi ini menunjukkan komitmen kita terhadap Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Tentera Darat yang bertanggungjawab memastikan keselamatan Istana Negara. Ia adalah amanah untuk menjaga kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan di sini hari ini.

Proses pertukaran pengawal dilakukan dua hingga tiga kali setahun, melibatkan tempoh penugasan tiga hingga enam bulan.

Sepanjang tempoh itu, anggota terbabit bukan sahaja menjaga keselamatan istana, tetapi turut menjalankan tugasan lain seperti kawalan kehormatan untuk ketua negara yang berkunjung, serta mengendalikan pelbagai acara rasmi peringkat nasional.

Mengulas lanjut, Malek berkata, elemen pasukan berkuda hanya mula dilibatkan dalam istiadat itu pada tahun 2015, sekali gus menambah nilai estetika dan keunikan kepada tradisi yang dikekalkan sehingga kini.

Beliau menegaskan bahawa selain daripada penglibatan polis yang bertugas harian di Istana Negara, Tentera Darat memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kelangsungan tradisi yang menjadi simbol kedaulatan negara.

“Tanggungjawab ini perlu dipikul dengan sebaiknya dan saya telah memberikan amanah kepada anggota agar mengekalkan disiplin, dedikasi serta sentiasa menjunjung tinggi tugas yang diberikan, supaya ia mencerminkan kebertanggungjawaban kepada negara serta memberi imej terbaik kepada rakyat.

“Istana Negara adalah tumpuan pelancong, maka tradisi dan elemen rejimental ini menjadi antara daya tarikan utama kepada mereka,” jelasnya.

Turut mencuri perhatian, kehadiran ratusan pengunjung dan pelancong yang mula memenuhi kawasan dataran sejak jam 7 pagi, bagi menyaksikan detik penuh protokol itu.

Untuk rekod, Istiadat Pertukaran Pengawal mula dilaksanakan pada 1959 dan pada 1994 ia diperkenankan untuk disaksikan orang awam di Istana Negara, Jalan Istana.

Pada 2012, pelaksanaan dipindahkan ke Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim dan dijalankan sepenuhnya oleh RAMD.

Pegawai Tabik Hormat hari ini ialah Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali dan Pegawai Memerintah Skuadron Istiadat Berkuda, Leftenan Kolonel Shahrul Azudin Maulod.

Turut hadir menyaksikan istiadat, Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Fauzi Abu Bakar serta pegawai kanan Tentera Darat.




#tentera darat #Istana Negara #Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara #RAMD