KUALA LUMPUR:Keadaan trafik di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dilaporkan sesak di beberapa laluan membabitkan arah Selatan dan Utara sejak jam 9 pagi tadi.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, keadaan itu disebabkan berlaku peningkatan ketara kenderaan masuk ke lebuh raya sempena dengan cuti Krismas dan Tahun Baharu akan datang.

Katanya, keadaan trafik yang sesak itu bagaimanapun tidak berlaku di plaza tol keluar dari ibu negara.

"Hasil pemantauan sejak jam 9 pagi tadi, beberapa lokasi telah mula menunjukkan kesesakan trafik bermula di Rawang Selatan menuju ke kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Tagar.

"Selain itu, kesesakan trafik juga dilaporkan di lokasi biasa iaitu di kawasan lebuh raya tiga lorong kepada dua lorong iaitu di Slim River arah Sungkai.

"Lebuh raya arah Selatan pula menyaksikan kawasan Pedas-Linggi arah Senawang menunjukkan keadaan sesak yang ketara, manakala kawasan lain masih lagi terkawal," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Mohd Yusuf berkata, pihaknya menjangkakan keadaan trafik akan beransur pulih kira-kira pada pukul 7 petang nanti.

"Bagaimanapun ia juga bergantung kepada keadaan cuaca dan jika berlaku hujan, keadaan trafik mungkin akan terus perlahan," katanya.