Tragedi 1 Syawal: Lima maut dalam tiga kemalangan berasingan di Kelantan

Muhafandi Muhamad
Jun 15, 2018 15:33 MYT
Salah satu kemalangan yang berlaku pada 1 Syawal di Kelantan. -Foto Astro AWANI/JBPM Kelantan
Kehadiran 1 Syawal yang sepatutnya disambut meriah sebaliknya menyaksikan lima maut manakala 13 lagi cedera dalam tiga kemalangan berasingan di Bachok, Gua Musang dan Kota Bharu.
Dalam kemalangan sekitar jam 5.15 pagi tadi di Jalan Ketereh-Melor, di Kampung Buloh Poh, dua remaja berusia 19 dan 16 tahun maut apabila motosikal mereka bertembung antara satu sama lain.
Manakala dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai sekitar jam 4.45 pagi tadi, seorang lelaki berusia 52 tahun maut apabila kereta yang dinaiki terlibat dengan kemalangan.
Dalam insiden itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Adna Muhamad.
Kereta yang dinaiki mangsa bertembung menyebabkan lapan penumpang -- masing-masing enam dari kereta jenis Toyota Vios dan dua lagi dari kereta Proton Iswara -- mengalami kecederaan.
Sementara itu, dalam kemalangan lain membabitkan dua buah kereta di Sungai Dua, Bachok sekitar jam 10.20 pagi tadi, seorang pemuda berusia 20-an maut.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Taufik Jamaluddin.
Di Kampong Dewan Beta Hilir pula, seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta.
Dalam kemalangan sekitar jam 1 tengah hari itu, lima lagi mangsa iaitu penumpang dari dua buah kereta berkenaan mengalami kecederaan.
Keadaan jalan di kebanyakan tempat di Kelantan mengalami kesesakan di sebelah petang apabila warganya mulai keluar untuk menziarahi rumah sanak saudara.
#Adna Muhamad #Gua Musang #Jalan Gua Musang-Kuala Krai #Jalan Ketereh-Melor #Kampung Buloh Poh #kemalangan #kereta #Kota Bharu #maut #tiga kemalangan berasingan