KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menyediakan Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan susulan daripada kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Draf GPP ini dijangka dapat dimuktamadkan pada akhir April depan setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pelbagai agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.

Menurutnya, GPP ini memberi fokus kepada aktiviti perkhemahan jenis asas iaitu perkhemahan yang menggunakan khemah yang didirikan di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas yang minimum berserta kelengkapan, peralatan dan makanan yang perlu dibawa sendiri oleh peserta.

“Antara aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkhemahan yang digariskan adalah seperti kesesuaian cadangan lokasi tapak perkhemahan yang dibenarkan di kawasan gunung dan berbukit, tepian laut, sungai, kawasan hutan, kawasan berisiko bencana semula jadi serta kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) yang lain.

“Selain itu, keselamatan tapak dengan menentukan jarak yang sesuai daripada kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi, tahap kecerunan yang sesuai serta struktur kekuatan tanah.

“Keperluan dan kesesuaian akses laluan keluar-masuk ke tapak perkhemahan serta keperluan kemudahan dan infrastruktur asas seperti sistem perparitan, bekalan air, elektrik, pembetungan, pengurusan sisa pepejal, kemudahan letak kenderaan, pejabat pengurusan, tempat berkumpul, tempat rawatan awal, tandas, tempat memasak serta surau turut diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang bertanyakan sama ada kementerian berhasrat untuk mengeluarkan garis panduan untuk premis yang menjalankan aktiviti perkhemahan di kawasan cerun bukit.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menambah, Draf GPP itu juga menyentuh mengenai pengurusan dan operasi tapak perkhemahan meliputi daftar masuk, taklimat keselamatan, keperluan kakitangan pengusaha dan pengurusan kecemasan.

“Aspek berkaitan pematuhan perundangan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan seperti kelulusan permit sementara bangunan, lesen perniagaan, permit papan tanda dan iklan, permit menjalankan aktiviti luar atau ekstrem seperti ‘flying fox’ juga diambil kira.

“Adalah diharapkan dengan adanya garis panduan yang disediakan, aspek-aspek berkaitan keselamatan, keselesaan dan pemuliharaan alam semula jadi dapat diberi perhatian dalam perancangan dan pembangunan tapak-tapak perkhemahan supaya tragedi Batang Kali dapat dielakkan pada masa akan datang,” jelasnya. -Sinar Harian