KUALA LUMPUR: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim kini berbaki empat hari sahaja lagi.

Timbalan Presiden Kelab Eksplorasi Altitud Murshid Maktar memaklumkan operasi SAR bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa kastam negara itu yang masih belum memberi pelepasan dron yang dihantar menggunakan khidmat kargo dari Malaysia.

“Sekarang kami dalam proses pengeluaran dron daripada pihak kastam Nepal memandangkan ada cukai tertentu yang perlu dibayar.

“Apabila dron tu dah dibawa keluar, Insya-Allah kalau kata keluar esok, kalau cuaca baik…dalam perbincangan kita akan terbangkan empat petugas dari Kathmandu ke kem 2.

"Mereka terdiri daripada dua orang dari team Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia iaitu Vincent salah seorang pendaki dan juga Ayu Wanirah Naharuddin yang merupakan pengurus base camp. Manakala dua lagi team dari Nepal yang merupakan pakar dalam menggunakan dron,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, pengunaan dron berteknologi tinggi ini dijangka dapat mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Muhammad Hawari.

Sementara itu, katanya misi SAR juga bergantung kepada keadaan cuaca dan jika cuaca tidak mengizinkan, maka ia akan diputuskan kemudian sama ada diteruskan atau tidak.