NATIONAL
Tragedi Gunung Rinjani: Jenazah Rennie dijangka tiba di Malaysia esok
Jenazah Rennie berjaya dibawa keluar dari lokasi curam sedalam 80 meter pada Ahad petang. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Jenazah pendaki rakyat Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean Gunung Rinjani Lombok, Indonesia Sabtu lalu dijangka diterbangkan pulang ke tanah air esok.
Ringkasan AI
- Jenazah pendaki rakyat Malaysia, Rennie Abdul Ghani, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, dijangka diterbangkan pulang ke tanah air esok. Jenazah akan dibawa pulang ke Johor Bahru selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
- Adik perempuan Allahyarham, Yana, memaklumkan bahawa segala maklumat berhubung urusan pengebumian akan dimaklumkan sebaik sahaja proses dokumentasi selesai.
- Allahyarham memulakan pendakian pada 1 Mei bersama 23 pendaki lain. Kejadian berlaku ketika kumpulan itu berhenti untuk mendapatkan air minuman di mata air Banyu Urip. Allahyarham melepaskan pagar tali keselamatan dan tergelincir ketika menuruni laluan, menyebabkan beliau terjatuh ke kanan di laluan mendaki.
Perkara itu dimaklumkan adik perempuan Allahyarham yang dikenali sebagai Yana menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Yana, jenazah akan dibawa pulang ke Johor Bahru selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Segala maklumat berhubung urusan pengebumian akan dimaklumkan sebaik sahaja proses dokumentasi selesai,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, jenazah Rennie berjaya dibawa keluar dari lokasi curam sedalam 80 meter pada Ahad petang.
Difahamkan, Allahyarham memulakan pendakian pada 1 Mei lalu bersama 23 lagi pendaki lain.
Menurut kenyataan rasmi Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), kejadian berlaku ketika kumpulan itu berhenti untuk mendapatkan air minuman di mata air Banyu Urip.
Bagaimanapun katanya, mangsa terus berjalan tanpa berehat dan ketua kumpulan tersebut sudah mengekori mangsa.
Sewaktu melintasi di laluan yang terdapat pagar tali keselamatan, ketua kumpulan itu berniat membantu mangsa melalui laluan tersebut, namun mangsa enggan.
Difahamkan, Allahyarham melepaskan pagar tali keselamatan dan tapak kakinya tergelincir ketika menuruni laluan menyebabkan mangsa hilang imbangan serta terjatuh ke kanan di laluan mendaki. - Sinar Harian