SEBERANG JAYA: Keluarga juruterbang yang cedera dalam insiden pesawat Hawk MK108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, bersyukur beliau terselamat dalam nahas itu.

Bapa Mejar (B) Mohd Fareez Omar, Mejar Omar Deros berkata dia mendapat maklumat berhubung kejadian malam tadi.

Menurut Omar, selepas dimaklumkan, beliau bersama ahli keluarga dari Selangor bergegas ke Pulau Pinang dan tiba sekitar jam 8 pagi tadi.

"Alhamdulillah anak saya selamat.

"Saya dimaklumkan anak saya sudah sedar, namun dia masih dalam pengawasan doktor.

"Saya tidak pasti tahap kecederaannya, cuma dimaklumkan pihak hospital mungkin akan melakukan pembedahan.

"Setakat itu saja yang dapat saya diberitahu," katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berasa sedih apabila rakan anaknya terkorban dalam nahas malam tadi. 

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa, Mohd Fareez, 33, cedera manakala rakannya Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, terkorban selepas pesawat pejuang yang dikendalikan mereka terhempas ketika melakukan latihan penerbangan malam.