TUMPAT: Seorang kanak-kanak lelaki dan bapa saudaranya yang jatuh daripada bot dinaiki mereka di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di sini, Jumaat lepas ditemukan lemas, pagi ini.

Ketua Polis Tumpat ACP Amran Dolah berkata kedua-dua mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat.

"Mangsa pertama iaitu Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan sekitar 8.15 pagi tadi di tebing sungai dalam jarak 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala, bapa saudaranya Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra iaitu tengah-tengah kawasan sungai dan tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan susulan penemuan itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

Pada Jumaat, Wan Muhamad Najmi, isterinya Nor Awadah Sulong, 30, dan anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena, 14 bulan serta Amrullah Fitri terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai selepas enjin bot dinaiki mereka tiba-tiba mati.

Nor Awadah meninggal dunia akibat kejadian itu manakala anak perempuannya selamat.

-- BERNAMA