MALAYSIA

Tragedi letupan mercun: 2 direman 7 hari, suspek mabuk ketika kejadian - Polis

Adie Sufian Zulkefli 21/10/2025 | 04:40 MYT
Lelaki berusia 34 tahun (empat, kiri) dan wanita berusia 23 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
KULIM: Seorang lelaki dan wanita direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes letupan mercun ketika sambutan Deepavali di Paya Besar, Lunas, Kulim, sehingga mengakibat 22 individu cedera.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 23 tahun direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes letupan mercun ketika sambutan Deepavali di Paya Besar, Lunas, Kulim yang menyebabkan 22 individu cedera, termasuk seorang parah.
  • Siasatan awal mendapati suspek lelaki membeli mercun jenis kelapa dan meletakkannya secara terbalik ke dalam silinder sebelum dibakar oleh suspek wanita, menyebabkan letupan kuat. Polis menerima rakaman video kejadian dan menahan kedua-dua suspek di Taman Senangin dan Paya Besar.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Unit Forensik telah menjalankan pemeriksaan di lokasi dan polis mengambil keterangan daripada 10 mangsa setakat ini.


Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan Majistret Nur Hamizah Mat Shah di Mahkamah Majistret Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang berada dalam keadaan mabuk telah membeli mercun jenis kelapa bernilai RM200 di sebuah khemah jualan berhampiran sebelum meletakkannya ke dalam sebuah silinder di tepi jalan.

"Mercun tersebut disyaki telah dimasukkan secara terbalik oleh suspek lelaki menyebabkan ia meletup di bawah selepas dibakar oleh rakannya, iaitu suspek wanita.

"Menurutnya akibat letupan itu, 22 individu yang berada di tempat kejadian cedera. Seorang lelaki dilaporkan parah di bahagian kepala dengan kecederaan retak tengkorak di dahi dan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang. Dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya di sini, hari ini.

Katanya, polis telah menerima sebuah rakaman video berdurasi 22 saat memaparkan kejadian itu sebelum kedua-dua suspek berjaya dikesan dan ditahan di kawasan Taman Senangin dan Paya Besar petang Isnin.

Beliau berkata, Unit Forensik telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, dan polis telah mengambil keterangan 10 mangsa.



#Deepavali #letupan mercun #suspek mabuk #mangsa cedera