[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Tragedi lubang pembetung: JKKP keluar notis henti kerja serta-merta

Sinar Harian 08/04/2025 | 04:20 MYT
Tiga pekerja maut dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lubang pembetung. -Sinar Harian
LENGGONG: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta terhadap semua aktiviti kerja di lubang pembetungan di sebuah tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini, susulan kemalangan yang meragut tiga nyawa.

Ringkasan AI
  • Tiga pekerja maut akibat terperangkap dalam lubang pembetung di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol, Sumpitan.
  • JKKP Perak mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta terhadap semua aktiviti kerja di tapak tersebut dan mendapati tiada sistem pengudaraan serta prosedur kerja selamat.
  • JKKP sedang menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan tindakan perundangan jika terdapat pelanggaran terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pejabat Pengarah JKKP Perak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian seperti dilaporkan media pada 6 April.
Menurutnya, sehubungan itu, sepasukan pegawai penyiasat JKKP Perak segera ke lokasi untuk membuat siasatan awal sebaik menerima pemberitahuan mengenai kejadian tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sistem pengudaraan keluar masuk di ruang pembetungan, selain tiada prosedur kerja selamat disediakan mengikut Tataamalan Industri Bekerja di Ruang Terkurung 2010.
“Tapak pembinaan berkenaan juga tidak membuat pemberitahuan projek pembinaan (JKKP 12) kepada jabatan. Kawasan kerja telah disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
JKKP Perak memaklumkan hasil siasatan mendapati dua mangsa merupakan pekerja harian yang menjalankan kerja-kerja pembinaan sistem pembetungan, manakala seorang lagi adalah orang awam.
Katanya, ketiga-tiga mereka pengsan selepas memasuki ruang pembetungan yang sempit dan kekurangan udara sebelum kesemua mereka meninggal dunia.
Tambah beliau, surat arahan telah dikeluarkan bagi memastikan prosedur kerja selamat dan pentaksiran risiko dilaksanakan, termasuk melantik Penguji Gas Bertauliah (AGT) untuk aktiviti berkaitan.
JKKP juga sedang mendapatkan dokumen berkaitan serta merakam keterangan saksi, dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan perundangan jika terdapat pelanggaran terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.
"Majikan bertanggungjawab penuh terhadap keselamatan pekerja dan mesti mengenal pasti serta mengawal sebarang risiko sebelum kerja dimulakan,” katanya lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga lelaki maut manakala seorang lagi dilaporkan kritikal selepas pengsan ketika melakukan kerja di dalam lubang pembetungan yang dipercayai tidak mempunyai sistem pengudaraan mencukupi. -Sinar Harian
#JKKP #Kampung Ibol Sumpitan #terperangkap dalam lubang pembetung #tapak pembinaan resort